KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan rakan kongsi ASEAN dan menerusi pelaburan bersama, perkongsian penyelidikan dan perkongsian pengetahuan untuk menjadikan cita-cita serantau menjadi kenyataan, kata Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.
Liew dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN (ASEMIS) 2025 berkata kekuatan ASEAN terletak pada perpaduan, disokong oleh lokasi strategik, tenaga kerja berdedikasi, inovasi kukuh dan keupayaan pembuatan serta ekonomi digital yang semakin berkembang.
“Apa yang kita perlukan sekarang ialah penjajaran dasar, kesediaan infrastruktur dan kerjasama rentas sempadan untuk merealisasikan potensi ini,” katanya.
Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun ini, salah satu daripada Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) utamanya ialah pembangunan Rangka Kerja ASEAN untuk Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu, disasarkan siap sebelum Malaysia menyerahkan jawatan pengerusi ASEAN.
Selain itu, beliau berkata ekosistem semikonduktor canggih Malaysia berada pada kedudukan baik untuk beralih daripada pembuatan sumber luar iaitu “dibuat di Malaysia” kepada penekanan baharu - "Buatan Malaysia": penciptaan teknologi Malaysia, kata Liew.
Malaysia menyasarkan lebih banyak syarikat tempatan berkembang menjadi syarikat multinasional (MNC), menginovasi teknologi untuk dunia.
"Selain itu, bersama-sama syarikat dari rantau ASEAN, membina rantaian nilai yang mampan dan berdaya tahan. Dasar kita harus menjurus ke arah mewujudkan MNC semikonduktor Malaysia, Singapura dan ASEAN pada masa depan," katanya.
Malaysia sekali lagi mengulangi komitmennya tahun lepas apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), dasar berani dan berpandangan jauh, menyasarkan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab global bagu inovasi semikonduktor, kecemerlangan pembuatan dan pembangunan bakat.
NSS bermatlamat mewujudkan 10 syarikat teknologi Malaysia dengan pendapatan tahunan sebanyak US$1 bilion setiap satu dan 100 lagi syarikat tempatan berkaitan semikonduktor dengan pendapatan tahunan RM1 bilion, kata Liew.
-- BERNAMA