EKONOMI

BANTUAN TUNAI RM100 SUMBANG RM3 BILION DALAM SEKTOR RUNCIT, TINGKAT PERBELANJAAN - KENANGA IB

24/07/2025 03:31 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Langkah fiskal disasarkan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu dijangka meningkatkan perbelanjaan dalam jangka masa terdekat, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Katanya, perbelanjaan dijangka meningkat terutamanya bagi barangan keperluan dan barangan isi rumah.

Kenanga IB dalam nota penyelidikannya berkata antara langkah fiskal tersebut iaitu bantuan tunai RM100 sekali beri kepada setiap warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas secara individu dan bukan berdasarkan isi rumah, sekali gus memperluas kesan perbelanjaan.

“Kami mengekalkan pendirian neutral terhadap sektor pengguna susulan pengumuman mengejut kerajaan mengenai bantuan tunai RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

"Ia merupakan bantuan tunai pertama kepada semua warganegara dewasa di Malaysia dan berpotensi meningkatkan perbelanjaan dalam jangka masa terdekat menjelang musim perayaan akhir tahun,” katanya.

Walaupun skala bantuan ini lebih kecil berbanding pusingan rangsangan sebelumnya, Kenanga IB berkata peruncit pasaran besar-besaran seperti MR DIY, AEON dan Padini mungkin mengalami peningkatan sederhana, disokong oleh momentum bermusim dan sentimen yang lebih baik.

 Ia berkata langkah tambahan kos sara hidup termasuk pengurangan 3.0 peratus dalam harga bahan api RON95, penangguhan kenaikan tol dan peluasan program Jualan Rahmah MADANI akan turut membantu meringankan tekanan ke atas pengguna.

“Secara keseluruhan, kami menganggarkan suntikan kira-kira RM3 bilion ke dalam sektor runcit merangkumi RM2.2 bilion daripada bantuan tunai RM100 yang baharu, RM300 juta daripada jualan Rahmah MADANI dan RM500 juta daripada penjimatan tol,” kata Kenanga IB.

Bank pelaburan tersebut berkata walaupun bantuan RM100 itu dihadkan kepada barangan keperluan, peningkatan dalam pendapatan boleh guna masih berkemungkinan membawa kepada perbelanjaan limpahan dan pengguna dijangka menyusun semula sebahagian daripada bajet biasa mereka mengikut budi bicara.

“Kesan bantuan ini dijangka lebih signifikan bagi kumpulan B40 apabila RM100 mewakili kira-kira 4.0 peratus daripada pendapatan boleh guna isi rumah bulanan berbanding 2.0 peratus bagi kumpulan M40 dan 1.0 peratus bagi kumpulan T20,” katanya.

 Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata mekanisme RON95 yang disasarkan boleh membantu mengekang inflasi sambil mengurangkan beban fiskal sekiranya dilaksanakan dengan baik.

Namun begitu, katanya, waktu pelaksanaan dan ketelusan akan menjadi faktor utama bagi mengelakkan kejutan dasar.

Menurut beliau, amat jelas mengenai hasrat kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan, namun usaha untuk mengimbangi langkah bantuan segera dengan matlamat fiskal jangka panjang mungkin menimbulkan ketidaktentuan terhadap hala tuju dasarnya.

“Niat untuk melakukan pembaharuan memang ada, tetapi tindakan mengimbangi politik melemahkan kredibiliti.

"Kecuali rasionalisasi subsidi dan reformasi cukai yang konkrit dapat direalisasikan dalam masa terdekat, pasaran mungkin mula mengabaikan retorik tersebut,” kata Innes kepada Bernama.

Beliau berkata langkah yang ditetapkan mengikut piawai secara politik seperti subsidi bahan api yang disasarkan dan penangguhan tol mungkin selaras dengan jangkaan agensi penarafan, tetapi hanya di bawah syarat-syarat tertentu.

“Ini hanya jika langkah-langkah tersebut dijalankan secara telus untuk jangka masa pendek dan disertai dengan pelan tindakan yang jelas serta boleh dikuatkuasakan untuk pembaharuan struktur.

"Jika tidak, agensi penarafan mungkin menganggapnya sebagai isyarat amaran dan bukannya sebagai pelepas tekanan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan