EKONOMI

KERAJAAN LULUS GERAN RM14.39 JUTA KEPADA SUHAKAM, TANGGUNG KOS OPERASI PADA 2023

24/07/2025 09:04 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MoF) telah meluluskan geran sebanyak RM14.39 juta kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) pada 2023 bagi menampung perbelanjaan operasi dan memenuhi objektif penubuhannya.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata geran itu merupakan jumlah tertinggi yang diluluskan oleh kerajaan.

“Geran tersebut bertujuan menampung perbelanjaan operasi meliputi elaun tetap Pesuruhjaya SUHAKAM, emolumen, operasi sewaan, utiliti, pelaksanaan program dan aktiviti tahunan SUHAKAM serta pembelian aset seperti kenderaan secara one-off.

“Pemberian geran tersebut adalah berdasarkan sesi semakan Belanjawan 2023 serta prestasi perbelanjaan SUHAKAM dan kemampuan kewangan kerajaan pada masa itu,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM 2023 bagi MoF di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau turut menyambut baik cadangan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) dan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) untuk meningkatkan peruntukan kepada SUHAKAM sepertimana dinyatakan dalam laporan yang dibentangkan.

Justeru, Lim berkata kerajaan akan mempertimbang peruntukan sewajarnya bagi keperluan SUHAKAM tertakluk kepada kemampuan semasa.

“Sejak penubuhan SUHAKAM pada tahun 2000, kerajaan tidak pernah gagal menyediakan peruntukan. Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan SUHAKAM dapat beroperasi dan memenuhi objektif penubuhannya,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan