SUKAN

TERBUKA CHINA: MALAYSIA PASTI ADA WAKIL BEREGU LELAKI DI SEPARUH AKHIR

25/07/2025 01:22 AM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) --Hasrat Malaysia untuk melihat seorang wakil mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka China 2025 sudah tercapai  apabila dua beregu lelaki negara bakal bertembung sesama sendiri di  peringkat suku akhir esok.

Pasangan ranking ketujuh dunia Man Wei-Chong-Tee Kai Wun menampilkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan rakan senegara Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 17-21, 21-17, 21-19 dalam aksi pusingan kedua yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.

Kemenangan itu bukan sahaja menempah tiket ke suku akhir, malah mengesahkan pertemuan ‘all-Malaysian’ menentang beregu utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang terlebih dahulu melangkah ke pusingan itu selepas mengatasi pasangan adik-beradik dari Perancis, Christo Popov-Toma Junior 21-17, 21-18.

Dalam saingan beregu wanita, pasangan negara Goh Pei Kee-Teoh Mei Xing mencipta kejutan apabila berjaya menyingkirkan pilihan kelapan kejohanan dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam pertarungan tiga set sengit, 26-21, 7-21, 21-18.

Mereka bakal berdepan cabaran getir di suku akhir apabila dijadualkan menentang gandingan tuan rumah Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian yang juga merupakan antara calon pilihan kejuaraan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan