NEW YORK, 25 Julai (Bernama - CMG) -- Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Fu Cong menyeru agar ketegangan antara Kemboja dan Thailand dapat diredakan secepat mungkin.
Fu berkata China bimbang akan situasi semasa dan berharap kedua-dua pihak dapat bertenang dan menahan diri bagi memulihkan keamanan.
China kini berperanan sebagai pengantara dalam usaha mendorong komunikasi dilakukan antara kedua-dua negara.
Beliau menyatakan China menghormati aturan mesyuarat Majlis Keselamatan PBB dan mengekalkan perhubungan dengan negara anggota serta pihak berkaitan.
Fu berkata Kemboja dan Thailand merupakan jiran baik bagi China. Kedua-dua negara juga berjiran dan anggota penting ASEAN.
"ASEAN sentiasa mengamalkan tradisi menyelesaikan perbezaan pendapat secara damai. Diharap kali ini keamanan dapat terus diwujudkan," katanya dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) di sini, pada Khamis.
– BERNAMA-CMG