KANGAR, 25 Julai (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis akan melaksanakan 30 penganjuran Jualan Agro MADANI bermula Julai hingga Mac tahun depan, bagi membantu rakyat negeri itu mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.
Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan berkata program berkenaan akan dilaksanakan di kawasan perumahan, kompleks kerajaan serta pekarangan masjid dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).
Beliau berkata pelaksanaan Jualan Agro MADANI itu menyasarkan nilai jualan keseluruhan RM450,000 dengan penglibatan 450 usahawan yang menawarkan barangan seperti daging, ayam, ikan, hasil laut dan sayur-sayuran.
“Melalui inisiatif ini, pengguna dijangka dapat menikmati penjimatan hingga RM135,000, sekali gus memberi manfaat kepada 60,000 isi rumah di seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohd Anzara berkata penganjuran jualan agro itu telah bermula semalam di pekarangan Pejabat FAMA Negeri Perlis yang mencatatkan nilai jualan RM19,000 dengan melibatkan penyertaan 35 usahawan manakala memberikan manfaat kepada 6,000 isi rumah.
-- BERNAMA