IPOH, 25 Julai (Bernama) -- Bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa dekat Kuala Kangsar, terbakar dalam satu kejadian pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata kebakaran di blok bangunan dua tingkat itu menyebabkan kerosakan 40 peratus.
Beliau berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 11.28 pagi, sebelum menggerakkan jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba 14 minit kemudian mendapati kebakaran melibatkan tingkat satu bangunan jenis kelas A yang menempatkan bilik stor peralatan elektrik dan bilik pendidikan seni berkeluasan 6x12 meter.
“Api merebak dengan cepat sebelum berjaya dikawal sepenuhnya pada 11.52 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata stor tersebut bersebelahan kelas pendidikan seni dan semasa kebakaran terdapat pelajar di kelas berkenaan, namun tindakan pantas guru telah memindahkan pelajar ke tempat selamat.
“Kebakaran tidak melibatkan sebarang mangsa dan punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan dan anggota bomba sedang melaksanakan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi punca api tersembunyi,” katanya.
-- BERNAMA