PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik cadangan oleh Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) mengadakan kempen antirasuah peringkat nasional bagi meningkatkan kesedaran dan pendidikan awam mengenai kepentingan menjadikan Malaysia negara bebas rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menyokong penuh cadangan PPPR untuk mengadakan kempen ini secara berterusan membabitkan semua lapisan masyarakat.
Menurutnya, ini dapat membantu SPRM dalam mencapai matlamat mewujudkan masyarakat yang membenci rasuah.
Sementara itu, Pengerusi PPPR, Datin Yasmin Ahmad Merican berkata, kempen tersebut yang dijangka dilancarkan tahun ini juga bertujuan untuk menaikkan imej SPRM di mata masyarakat.
"Objektif kempen ini adalah sebagai satu usaha yang akan memberi tumpuan kepada pembangunan program pencegahan rasuah yang mampan melalui tadbir urus dan pendidikan lebih baik kepada semua.
“Melalui kempen ini, PPPR dan SPRM berhasrat mewujudkan visi yang dikongsi bersama semua lapisan masyarakat dalam usaha meningkatkan nilai integriti dan moral demi generasi akan datang," katanya ketika membentangkan cadangan kempen tersebut kepada Azam di pejabatnya di sini, hari ini.
Menurutnya, kempen itu akan diketuai oleh SPRM melalui PPPR dan penglibatan daripada peringkat nasional kesemua badan pemantau bebas SPRM iaitu Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Jawatankuasa Aduan (JKA) dan Panel Penilaian Operasi (PPO) serta sokongan daripada sektor korporat dan ahli akademik.
Turut hadir ahli PPPR iaitu Prof. Emerita Datuk Dr. Asma Ismail; Prof. Dr. Haidar Dziyauddin; Prof. Dr. Sarjit Singh Darshan Singh; Ali Hassan Mohd. Hassan, Kamaruddin Mape dan wakil Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM.
— BERNAMA