IPOH, 25 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak memberi jaminan akan membantu masyarakat dalam proses pendaftaran dan penggunaan sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) khususnya pada Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM).
Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata pihaknya akan meletakkan pegawai dan anggota KPDN di setiap PJRM bagi membantu memudahkan proses pendaftaran dilakukan oleh pelbagai lapisan masyarakat terutama warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).
“Kita faham mungkin ada segelintir individu yang menghadapi sedikit kesukaran untuk mendaftar sistem ini namun kita beri jaminan anggota KPDN di lokasi terlibat (PJRM) akan bantu mereka mendaftar sehingga berjaya.
“Kita percaya sistem yang juga program rintis itu bukan hanya bertujuan merekod pembelian minyak masak peket bersubsidi oleh pengguna yang layak malah mengelak ketirisan dan memastikan bekalan sampai kepada sasaran sebenar,” katanya pada sidang media PJRM KPDN Perak di sini hari ini.
Pada 23 Julai lepas, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata sistem eCOSS diperluas kepada aplikasi mudah alih bagi menangani isu pengagihan kuota 60,000 tan metrik minyak masak peket sebulan yang disasarkan kepada rakyat tempatan khususnya golongan B40.
Sistem berkenaan dibangunkan bagi melengkapkan keseluruhan rantaian bekalan yang bermula daripada peringkat pengagihan sehingga pembelian oleh pengguna akhir.
Sementara itu, Kamalludin berkata dengan kewujudan sistem eCOSS, pihaknya mampu mengesan lebih awal sekiranya berlaku kehabisan bekalan minyak peket di sesuatu kawasan, selain meneliti pola pembelian untuk mencegah pemborongan oleh pihak tidak layak.
“Data yang kita kumpul bukan sahaja bantu kerajaan urus bekalan dengan lebih cekap, tetapi juga memastikan tiada unsur penyelewengan dalam rantaian agihan,” katanya.
Beliau berkata setakat ini sebanyak RM53,488,905.38 direkodkan membabitkan jualan di 983 PJRM seluruh negeri meliputi 24 kawasan Parlimen dan 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.
Untuk statistik penerima manfaat pula, setakat ini sebanyak 1,227,731 individu menerima faedah daripada PJRM di Perak.
-- BERNAMA