SUKAN

PIALA RAJA THAI: SKUAD KUADRAN MALAYSIA TEWAS 0-2 KEPADA JEPUN

25/07/2025 11:26 PM

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Bernama) -- Harapan Malaysia untuk melangkah ke final acara kuadran lelaki Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai 2025 musnah selepas tewas 0-2 kepada Jepun di Songkhla, malam ini.

Skuad negara yang dibarisi Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Aidil Aiman Azwawi, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Norfaizzul Abd Razak dan Mohammad Azlan Alias tumpas 11-15, 13-15 dalam aksi separuh akhir yang sengit berlangsung di Dewan Hatyai, Pusat Beli-Belah Central Hatyai.

Dalam pada itu, skuad regu berpasukan lelaki mengekalkan rekod bersih dengan memenangi dua lagi perlawanan Kumpulan B sekali gus mara ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.

Malaysia menumpaskan Laos 3-0 pada saingan di sebelah pagi diikuti keputusan sama pada aksi terakhir kumpulan menentang Jepun.

Semalam, Malaysia membuka tirai saingan kumpulan dengan mengatasi Korea Selatan dan Myanmar, masing-masing menerusi keputusan 3-0.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan