AM

MAJLIS PELUNCURAN BULAN KEBANGSAAN: BANDAR MAHARANI MUAR JADI TUMPUAN

26/07/2025 09:55 AM

MUAR, 26 Julai (Bernama) -- Bersempena dengan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (MPBKKJG) 2025 di Dataran Tanjung Emas esok, Bandar Maharani Muar dijangka mula menjadi tumpuan bermula dari hari ini apabila pelbagai aktiviti dan program menarik dianjurkan.

Banyak program berfokuskan rakyat seperti Karnival Kita MADANI, Jualan Rahmah MADANI dan pameran Komuniti MADANI diadakan di tapak pelancaran sekali gus mula membuka ruang interaksi antara masyarakat dengan agensi kerajaan, dan pada masa sama memupuk semangat kebersamaan serta patriotisme.

Antara tawaran yang turut menanti pengunjung ialah diskaun saman hingga 30 peratus oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemeriksaan kesihatan percuma, pembaharuan lesen memandu, serta perkhidmatan daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Tidak ketinggalan, terdapat 16 reruai pameran Komuniti MADANI mempamerkan produk makanan dan pakaian tradisional dari setiap negeri.

Bagi peminat hiburan, pentas utama akan dimeriahkan dengan Fiesta Seni MADANI pada malam ini yang menampilkan artis seperti AC Mizal, Ayai Ilusi dan Asmidar.

Program sisipan lain yang melibatkan penyertaan rakyat secara langsung termasuk Bakti Komuniti MADANI di Taman Tun Sulaiman Ninam Shah dan Permukiman Komuniti MADANI Semenanjung di Melaka hari ini serta Merdeka 6.8KM Fun Run & Walk dan Pelepasan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025 pada Ahad. 

Majlis pelancaran yang dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi esok bukan sekadar acara simbolik, tetapi juga menjadi wadah utama menyemai semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat pelbagai lapisan.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Julina Johan, pemilihan Muar sebagai lokasi penganjuran adalah signifikan kerana kekayaan warisan budaya daerah ini seperti zapin, ghazal dan kuda kepang, yang turut mencerminkan identiti Johor dan memperkukuh suasana patriotik yang mesra rakyat. 

“Tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2025, Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, diterjemahkan secara menyeluruh melalui pendekatan program berasaskan rakyat sepanjang acara ini,” katanya kepada Bernama. 

-- BERNAMA


 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan