DUNGUN, 26 Julai (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap seekor beruang matahari yang berkeliaran di Kampung Padang Ping, di sini sejak minggu lepas.
Pengarah Perhilitan Terengganu Loo Kean Seong berkata beruang jantan dewasa yang dianggarkan seberat 110 kilogram itu memasuki perangkap yang dipasang pagi semalam.
Beliau berkata beruang terbabit tidak mengalami kecederaan dan dilepaskan ke habitat semula jadi petang semalam.
"Kita menerima aduan daripada penduduk kampung mengenai kehadiran beruang yang berkeliaran di sekitar kampung dan kawasan kebun kelapa sawit sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.
"Sebaik menerima laporan, kita telah memasang perangkap dan berjaya menangkap haiwan itu semalam," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada orang ramai yang terserempak atau melihat kelibat haiwan liar supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan melaporkan perkara itu dengan segera kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA