SUKAN

WUG 2025: LING CHING PASTIKAN KEM BADMINTON TAK PULANG TANGAN KOSONG

26/07/2025 11:57 AM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

MULHEIM AN DER RUHR (Jerman), 26 Julai (Bernama) -- Perseorangan wanita negara Wong Ling Ching terpaksa melupakan impian ke final selepas terkandas pada separuh akhir Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr 2025 di Westenergie Sporthalle, di sini awal pagi waktu Malaysia.

Namun, Ling Ching memastikan kem badminton negara tidak pulang dengan tangan kosong apabila tetap meraih pingat gangsa bersama Ella Lin dari Amerika Syarikat selepas kejayaan masing-masing melangkah ke separuh akhir.

Dalam pertembungan peringkat empat terbaik itu, Ling Ching tewas 16-14, 5-15, 13-15 di tangan Tidapron Kleebyeesun dari Thailand.

“Dalam set pertama, semua ikut perancangan, tetapi dalam set kedua dan ketiga lawan ubah cara permainan dan secara keseluruhan saya tidak cukup yakin dan sabar.

“Saya sebenarnya tidak letak sasaran tinggi, tetapi selepas undian rasa boleh dapatkan pingat, namun saya masih kecewa sebab (selepas ke separuh akhir) sasar untuk ke final,” kata Ling Ching ketika ditemui di sini.

Terdahulu, penuntut Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berusia 21 tahun itu menundukkan Devika Sihag dari India 17-15, 15-11 pada peringkat suku akhir.

Upacara penyampaian pingat acara perseorangan wanita dijangka diadakan pada awal pagi Ahad waktu Malaysia.

Gangsa diraih Ling Ching merupakan pingat kedua kontinjen negara selepas jaguh renang Khiew Hoe Yean merangkul perak dalam acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki.

Dalam pada itu, hasrat perseorangan lelaki Eogene Ewe untuk menambah koleksi pingat kem badminton tidak kesampaian apabila tumpas di tangan Ting Yen Chen dari Taiwan 13-15, 14-16.

Eogene mengakui terlalu kecewa kerana gagal layak ke separuh akhir yang menjanjikan sekurang-kurangnya pingat gangsa, terutama apabila satu ketika berada di ambang kemenangan dengan mendahului 14-10 pada set kedua untuk mengheret perlawanan ke penentuan.

“Pada hujung perlawanan saya sedikit gementar kerana hendak menang sangat, sebab saya tahu ini aksi suku akhir dan perlu menang pingat, tetapi saya belum cukup matang untuk bertahan dalam perlawanan seperti ini,” katanya yang mahu memenangi pingat bagi membuktikan kemampuannya.

Sementara itu, atlet 800m lelaki Wan Muhammad Fazri Wan Zahari menepati ramalan mara ke separuh akhir selepas merakam masa 1 minit 49.53 saat (s) di tempat kelima dalam saringan empat di Lohrheidestadion di Bochum.

Atlet lompat galah lelaki Muhammad Naufa Shahrul Afzam, Muhammad Izzul Haniff Mohd Raffi (lompat kijang lelaki) dan Ng Jing Xuan (rejam lembing wanita) pula masing-masing terkandas pada pusingan kelayakan dan pusingan pertama.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan