KUANTAN, 26 Julai (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menegaskan gelaran dan darjah kebesaran bukan perisai untuk bermaharajalela bahkan bukan juga perhiasan di dada atau kebanggaan di majlis keramaian.
Baginda bertitah kurniaan itu ialah lambang kemuliaan, amanah yang bersulam maruah dan penghormatan yang hanya layak kepada mereka yang memelihara integriti serta menjunjung tinggi undang-undang negeri.
Darjah kebesaran itu juga tidak boleh dan tidak akan menjadi pelindung kepada sesiapa yang melanggar hukum, mengkhianati tanah negeri atau menodai keadilan.
"Beta tidak akan berdiam diri apabila kehormatan yang diberi digunakan untuk menindas, mencuri hasil negeri atau mencemarkan nama baik institusi diraja.
"Beta ingin menegaskan bahawa mulai saat ini mana-mana individu yang dianugerahkan gelaran Dato' Dato'Indera, Dato' Sri atau yang seumpamanya tetapi terbukti terlibat dalam kes jenayah, rasuah pencerobohan tanah, perlombongan haram, pembalakan tanpa permit akan dikenakan tindakan penggantungan atau penarikan balik gelaran secara serta-merta," titah baginda.
-- BERNAMA