ARAU, 26 Julai (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru kepimpinan serta ahli parti itu untuk bertindak cepat dalam menangani dan menjawab pelbagai isu yang ditimbulkan oleh pihak-pihak tertentu terhadap parti berkenaan.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata sekiranya sesuatu isu itu gagal ditangani dalam tempoh tertentu, ia akan menjadi tular dan memasuki minda sesiapa sahaja sehingga menyebabkan mereka terkesan.
“Walaupun isu itu mungkin isu yang diulang atau isu yang dicipta serta tidak berlandaskan kepada kebenaran, namun jika tidak ditangani dan disantuni ia akan jadi satu barah yang parah menyebabkan kita rebah,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pejabat UMNO Bahagian Arau di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata UMNO harus menerima hakikat bahawa parti itu tidak pintar dalam menangani isu menyebabkan parti lain berjaya memperoleh lebih banyak kerusi dalam pilihan raya kerana pandai memainkan isu.
“Ada parti yang menanamkan ketaksuban ataupun ‘cult’ di dalam hati pengikut-pengikutnya, jumlah keahlian parti berkenaan sedikit berbanding dengan jumlah keahlian parti kita, tetapi mereka mendapat kerusi lebih banyak daripada kita.
“Malah, ada parti yang tiada jentera tetapi mendapat kerusi lebih banyak daripada kita sebab mereka boleh memainkan isu,” katanya.
Justeru, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menggesa kepimpinan UMNO untuk menangani sebarang isu yang timbul sama ada di peringkat nasional, negeri, bahagian dan Dewan Undangan Negeri.
Pada masa sama, Ahmad Zahid turut menyeru kepimpinan dan ahli UMNO supaya mempertahankan hubungan dan kekuatan dalaman parti walaupun ada perbezaan pendapat dan pandangan.
-- BERNAMA