AM

PROJEK SEJATI MADANI TARIK LEBIH RAMAI BELIA SERTAI BIDANG TERNAKAN - ADLY

26/07/2025 07:00 PM

ALOR GAJAH, 26 Julai (Bernama) -- Penglibatan belia yang semakin meningkat dalam bidang pertanian dan penternakan di bawah inisiatif Projek Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) memberi petunjuk program ini berada di landasan terbaik. 

Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah Adly Zahari berkata usaha menarik golongan ini perlu diteruskan termasuk meyakinkan mereka bahawa sektor keterjaminan makanan ialah sektor paling stabil.

“Ini kerana selagi ada manusia, selagi itu makanan diperlukan. Cuma kita perlu tingkatkan pengetahuan dan minat mereka termasuk pengurusan kewangan, penggunaan teknologi serta membuka lebih ruang bantuan dan dana," katanya. 

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Projek Ternakan Ikan Air Tawar (Keli) Koperasi Usahawan Alor Gajah Melaka Berhad di Jalan Kampung Rembia Tengah di sini hari ini, yang turut dihadiri Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.

Mengenai Program SejaTi MADANI yang digerakkan di bawah koperasi Angkasa dan kerjasama agensi-agensi kerajaan, beliau berkata projek ini semakin memberi impak positif pada komuniti terlibat bahkan ada yang sudah memasuki fasa kedua. 

"Dengan dana maksimum RM100,000 kita dapat lihat perlaksanaan projek di bawah inisiatif ini telah memberi hasil positif termasuk melahirkan pelbagai projek agro belia seperti penternakan ikan keli, ternakan ayam kampung, sewaan dron pertanian sehingga ke inovasi penapisan minyak masak secara lestari.

"Sebahagian projek sudah pun memasuki fasa kedua tanpa perlu tambahan dana dan ini sekali gus menandakan kejayaan dan daya tahan model ekonomi komuniti ini," katanya. 

Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengusaha ternakan ikan air tawar khususnya ikan keli, diingatkan supaya tidak melepaskan air sisa kolam ternakan terus ke dalam sungai atau saliran utama tanpa proses rawatan atau penapisan.

Beliau berkata satu langkah proaktif yang menggunakan teknologi terkini perlu digunakan pengusaha memandangkan semakin ramai usahawan termasuk koperasi tempatan terlibat dalam projek agro pertanian terutama penternakan ikan keli. 

“Kita sedia maklum yang kolam ternakan seperti ikan keli menghasilkan air sisa yang boleh mencemarkan sungai jika tidak ditapis dengan sempurna dan situasi ini sangat kritikal terutamanya pada musim kemarau apabila sumber air semula jadi menjadi terhad. 

"Jadi penggunaan teknologi seperti sistem penapisan air dan kolam rawatan sisa perlu dijadikan amalan wajib dalam sebarang aktiviti penternakan untuk memastikan ekosistem air kekal bersih dan tidak menjejaskan komuniti setempat," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan