AM

PENDUDUK KAMPUNG MELAYU BUKIT BATU LEGA LONGKANG SIAP DIBINA ATASI MASALAH BANJIR

26/07/2025 06:58 PM

KULAI, 26 Julai (Bernama) -- Penduduk Kampung Melayu Bukit Batu di sini yang sering berhadapan masalah banjir kini boleh menarik nafas lega apabila longkang konkrit di kawasan itu telah siap dibina.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata kerja-kerja pembinaan longkang konkrit sepanjang 190 meter bermula Jun lepas melibatkan peruntukan RM200,000 dilakukan untuk mengalirkan air dengan lebih cepat.

"Kawasan berkenaan telah berdepan dengan banjir sejak 10 tahun lepas dan tahun ini dinaiki air empat kali kerana terletak di kawasan rendah," katanya pada sidang media selepas meninjau pembinaan longkang konkrit di kampung berkenaan hari ini.

Sementara itu, penduduk kampung Juliana Boonadir, 43, berkata beliau bersyukur kerana pembinaan longkang berkenaan yang menjadi harapan penduduk untuk mengurangkan risiko banjir kini telah siap.

"Apabila berlaku banjir, banyak barang terjejas. Walaupun bantuan memang ada, cuma kerosakan itu amat besar.

“Diharapkan perkara (banjir) tidak berulang. Bayangkan, suku pertama tahun ini sahaja sudah empat kali banjir, jadi ia (pembinaan longkang) memberi manfaat yang besar kepada kami," katanya yang bertugas sebagai pengurus klinik.

Pesara Razman Hamzah, 64, berkata pembinaan longkang ini membuktikan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap aduan yang dikemukakan rakyat.

"Syukur Alhamdulillah. Ini (longkang) amat perlu,  saya percaya ia dapat cepatkan aliran air. Biasanya bila banjir, perabot seperti kerusi, katil khususnya kayu akan rosak. Tahun ini empat kali kami berhadapan banjir," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan