AM

JS-SEZ TONGGAK UTAMA EKONOMI JOHOR HASIL KERJASAMA PERSEKUTUAN DAN NEGERI - ONN HAFIZ

27/07/2025 12:36 PM

MUAR, 27 Julai (Bernama) -- Kerjasama erat kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menjayakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) menjadikan inisiatif itu sebahagian daripada tonggak utama kejayaan ekonomi Johor.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata Johor berada di landasan yang sangat baik berdasarkan pencapaian yang dilakarkan, sekali gus membuktikan usaha yang dilakukan bagi membangunkan negeri berkenaan membuahkan hasil.

Beliau berkata sebagai contoh, Johor mencatatkan pelaburan diluluskan mencecah RM30.1 bilion bagi suku pertama tahun ini selain mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 6.4 peratus iaitu melepasi paras pertumbuhan nasional tahun lepas.

“Ini bukan angka kecil, ini membuktikan Johor bukan sekadar menjadi pemacu ekonomi di selatan tanah air, malah antara negeri peneraju pertumbuhan negara.

“Justeru, kita di peringkat Johor ingin menzahirkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Johor,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Anwar di atas pengumuman inisiatif yang diumumkan untuk rakyat baru-baru ini iaitu termasuk pemberian RM100 secara sekali beri dan penurunan harga petrol RON95.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas pengumuman itu. 

“Kita di Johor, selari dengan Persekutuan dengan (pemberian sumbangan) seperti Bakul Kasih, Jualan Kasih, Dapur Kasih, pembinaan rumah mampu milik, bantuan kepada hospital dan pelbagai lagi,” katanya.

Onn Hafiz pada masa sama turut menzahirkan penghargaan kerajaan memilih Johor khususnya Muar sebagai tuan rumah Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025.

Beliau berkata Muar yang juga lokasi sejarah kemerdekaan disemai, melahirkan tokoh-tokoh penting yang membuka jalan kepada pembentukan negara bangsa termasuk Datuk Onn Jaafar, Tan Sri Mohamed Noah Omar dan Abdul Majid Salleh. 

“Mereka bukan sahaja berani tetapi jujur dalam perjuangan dan tulus dalam khidmat mereka untuk tanah air.

“Maka, apabila Johor dan khususnya Muar dipilih sebagai lokasi pelancaran Bulan Kebangsaan tahun ini, saya percaya ini bukan satu kebetulan. Ini adalah satu penghargaan kepada sejarah,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan