AM

DAKI GUNUNG, BERBASIKAL RAHSIA GAYA HIDUP AKTIF TUN RAMLI PADA USIA 84 TAHUN

27/07/2025 03:41 PM

Oleh R.Ratcharathan

GEORGE TOWN, 27 Julai (Bernama) -- Pada usia 84 tahun, ketika kebanyakan individu seusianya memilih untuk memperlahankan rentak kehidupan, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib membuktikan bahawa usia hanyalah angka.

Beliau kekal aktif, bertenaga dan penuh wawasan dalam perkhidmatan kepada rakyat, malah rutin hariannya yang dipenuhi pelbagai aktiviti luar mencerminkan gaya hidup sihat yang diamalkannya.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini, Tun Ramli  berkongsi  rahsia  mengekalkan kecergasan fizikal dan mental meskipun sudah lebih dua dekad meninggalkan arena politik.

Selepas bersara daripada politik pada 2008, masa lapang beliau banyak diisi dengan menulis buku dan menjalani pelbagai aktiviti luar termasuk mendaki gunung serta berbasikal, iaitu minat yang sekian lama dipupuk sejak zaman muda.

“Selepas tamat tugas sebagai Speaker (Dewan Rakyat) pada 2008, saya tiada apa dan saya tidak boleh katakan ini zaman doldrum, zaman tidak bermaya atau tidak aktif. Saya mula menulis buku dan sudahnya ada empat buku.

"Selain itu, saya juga banyak mendaki gunung termasuk Gunung Tahan, Pahang pada 2006; Lenawee Mountain (Colorado) dan beberapa gunung di Oman, Bhutan dan Indonesia,” katanya.

Temu bual itu dikendalikan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Biro Pulau Pinang R. Ratcharathan, di Seri Mutiara di sini, baru-baru ini.

Buku hasil nukilan Tun Ramli ialah 'Pasir Salak: Sehamparan Sejarah Perjuangan, Meniti Zaman', 'Tuan Yang di-Pertua: Daripada Seorang Budak Kampung Sehingga Menjadi Peneraju Parlimen', 'Bangsa Melayu: Penjejak Benua' dan 'Perintis Dunia Maritim dan Semarak: Koleksi Ucapan, Idea dan Harapan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ramli Ngah Talib'

Beliau juga menyumbang artikel kepada Majalah Commonwealth serta menghasilkan risalah pelancongan dan diorama sejarah untuk Kompleks Sejarah Pasir Salak, Perak

Anak kelahiran Pasir Salak, Perak itu berkata amalan gaya hidup aktif bukan sesuatu yang bermula lewat, sebaliknya telah menjadi sebahagian daripada kehidupan sejak di bangku sekolah menerusi penglibatan dalam sukan seperti badminton dan bola sepak.

Walaupun mengakui tahap fizikalnya tidak seperti dahulu, beliau percaya keseimbangan antara aktiviti mental dan fizikal amat penting untuk  kekal bertenaga serta bersemangat dalam menjalankan amanah sebagai Yang Dipertua Negeri.

Tun Ramli yang turut dilihat berbasikal di sekitar Pulau Mutiara pada masa lapangnya berkata aktiviti fizikal dan mental menjadi dua elemen penting yang menjadi tunjang kecergasannya sehingga kini.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihati generasi muda supaya tidak terlalu tertekan dengan pekerjaan semata-mata, sebaliknya perlu meluangkan masa bagi aktiviti riadah untuk mengekalkan kesihatan menyeluruh.

“Kerja keras memang satu sifat yang dipuji tetapi kita ini seperti jentera. Kena tambah dengan aktiviti-aktiviti luar. Perlu diselenggara, bukan sahaja secara fizikal, malah mental juga. Kalau fizikal dan mental tak aktif, kita pun akan layu juga,” katanya sambil tersenyum.

Di sebalik perwatakan sebagai negarawan yang tegas dan aktif, Tun Ramli turut dikenali sebagai seorang yang sangat mementingkan institusi kekeluargaan.

Mempunyai tujuh cucu, beliau menggambarkan dirinya sebagai seorang datuk yang rapat dengan keluarga dan sentiasa cuba meluangkan masa untuk bersama mereka.

"Dalam hal keluarga, saya memang macam itu. Saya mendekati dan rapat dengan mereka (cucu), saya sayang pada mereka. Ini saya tak tahu, ini sifat saya. Saya dukung anak-anak kecil. Kemungkinan perhubungan saya dengan orang lain pun begitu, ada perasaan untuk rapat dengan mereka," katanya.

Tun Ramli mendirikan rumah tangga dengan Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah pada 1973 dan dikurniakan empat cahaya mata serta tujuh cucu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan