AM

NUR ARSYILA RAESHA BERDEBAR, NAMUN BANGGA BAWA JALUR GEMILANG UNTUK PM ANWAR

27/07/2025 03:51 PM

MUAR, 27 Julai (Bernama) -- Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Bakar Tengah, di sini tidak dapat menyembunyikan perasaan gugup dan berdebar apabila menerima tugasan membawa Jalur Gemilang untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Namun, Nur Arsyila Raesha Abdul Aziz, 9, ternyata bangga dan gembira kerana momen itu bukan mudah diperoleh apatah lagi melibatkan pemimpin nombor satu negara pada majlis kenegaraan, iaitu sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025.

Lengkap berpakaian kurung moden berwarna hijau, pelajar tahun tiga itu dengan penuh yakin membawa Jalur Gemilang yang diterimanya daripada komuniti nelayan untuk digunakan Perdana Menteri bagi melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025.

“Sebelum ini saya gementar untuk menyertai program ini lebih-lebih lagi apabila perlu berhadapan dengan Perdana Menteri yang sebelum ini hanya saya lihat di kaca televisyen. Pengalaman ini akan saya kenang sampai bila-bila,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang (MPBKKJG) 2025 di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata dia sememangnya gemar menyertai program dan aktiviti berbentuk kenegaraan termasuk mengambil bahagian dalam pertandingan nyanyian lagu patriotik baru-baru ini.

Sementara itu, bapa saudaranya Muhammad Suhaimi Abd Rahman, 40, berkata dia menggalakkan Nur Arsyila Raesha untuk melibatkan diri dalam program berkaitan kenegaraan dan patriotisme bagi menanam semangat kecintaan akan negara.

Terdahulu, selepas melancarkan MPBKKJG 2025, Anwar kemudian melepaskan konvoi berkenaan yang turut menyaksikan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam, komuniti gig, penggemar permotoran, pasukan keselamatan dan buat julung-julung kalinya melibatkan nelayan tempatan yang membawa Jalur Gemilang menaiki bot menyusuri Sungai Muar.

Sebanyak 59 bot nelayan yang dikemudi oleh komuniti perikanan tempatan, dua bot milik Jabatan Laut, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) (tiga unit), dan polis marin (dua unit) dihiasi Jalur Gemilang dengan keseluruhan 172 peserta yang terlibat.

Sementara itu, 88 kenderaan darat turut dilepaskan dalam konvoi melibatkan 133 peserta daripada pelbagai agensi dan pertubuhan seperti Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pos Malaysia, jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Johor, Kelab Permotoran BMW K16 Johor dan kenderaan ekonomi gig.

Konvoi ini akan melalui 88 checkpoint, iaitu 44 di Semenanjung, Sabah (20), Sarawak (22) dan dua di Wilayah Persekutuan Labuan sebelum dijadualkan berakhir di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini, lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2025.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan