AM

PENUNTUT UMS RAIH PENGALAMAN JADI SUKARELAWAN FESTIVAL FLORA BORNEO

27/07/2025 04:56 PM

LABUAN, 27 Julai (Bernama) -- Kira-kira 100 penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraih pengalaman dengan menjadi sukarelawan pada Festival Flora Borneo (BFF), yang berlangsung selama lima hari bermula semalam.

Penuntut tahun pertama kampus induk UMS Muhd Alif Hazim, 21, berkata dia berkunjung ke Wilayah Persekutuan (WP) Labuan semata-mata mahu menjadi sukarelawan pada festival yang julung kalinya diadakan di pulau berkenaan.

Muhd Alif yang berasal dari Kota Kinabalu berkata dia menyertai festival itu kerana mahu meningkatkan keyakinan berkomunikasi bersama orang ramai selain menambah kenalan di Labuan.

“Festival ini adalah acara paling besar saya sertai pada tahun ini dan saya sebelum ini memang terlibat dalam banyak program kesukarelawanan,” kata penuntut jurusan Sains Komputer (Sains Data) Fakulti Komputeran dan Informatik itu kepada Bernama.

Muhd Alif berkata pameran di Flora Tropika Borneo dan Hutan Tropika Borneo mendapat perhatian pengunjung pada hari pertama festival kerana mereka mahu melihat spesies bunga seperti bunga tulip, matahari, pohon pontianak dan orkid.        

Penuntut Fakulti Komputeran dan Informatik Siti Aisyah Masyop, 23, yang pertama kali menjadi sukarelawan pula berkata dia mahu menimba pengalaman selain berinteraksi bersama orang ramai.

Siti Aisyah yang berasal dari Selangor berkata antara skop tugasan mereka adalah memberikan tunjuk arah, selain membantu pengunjung mengambil gambar mereka.

“Setakat ini, pengunjung sangat mudah didekati dan kami akan tanya sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan. Oleh sebab terlalu ramai pengunjung, ada yang mungkin keliru laluan mereka di sini,” katanya.

Penuntut Tahun Tiga Fakulti Kewangan Antarabangsa Anne Roza Robin, 22, berkata dia terlibat dalam BFF sejak fasa satu penanaman bunga di kawasan itu.

Berasal dari daerah Keningau, Anne Roza berkata pengalaman pertama menjadi sukarelawan pada program besar seperti BFF sangat bermakna buat dirinya sebagai mahasiswa sebelum melangkah ke alam pekerjaan yang sebenar.

“Pengunjung sangat ramai pada hari pertama BFF. Walaupun cuaca agak panas tetapi kami sebagai sukarelawan sentiasa memberikan bantuan kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Perbadanan Labuan menerusi laman Facebook rasminya memaklumkan sebanyak 37,130 pengunjung dicatatkan pada hari pertama festival itu berdasarkan data yang diperoleh daripada kamera litar tertutup (CCTV) kecerdasan buatan (AI) agensi berkenaan. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan