KOTA KINABALU, 27 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhasrat menambah baik ekosistem pengurusan royalti di negara ini bagi memastikan rezeki daripada karya bakat terus dinikmati oleh karyawan muzik.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata antaranya melalui Agensi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) untuk memperkenalkan Garis Panduan (GP) Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO) di bawah seksyen 27M Akta Hak Cipta 1987.
Beliau berkata langkah itu termasuk peringkat advokasi dan pematuhan semua pihak berkepentingan serta ketelusan tadbir urus kutipan dan pembayaran.
“Matlamat saya supaya hak semua pihak dilindungi dan dipelihara termasuk artis dan karyawan.
“Ramai yang akhirnya hidup dalam keadaan susah dan kerajaan tidak boleh dilihat tidak melakukan sesuatu dalam mewujudkan kerangka perundangan yang lebih jelas dan menyeluruh,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook hari ini.
Armizan berkata MyIPO diberi kuasa untuk mengeluarkan GP berhubung perisytiharan dan pengendalian kepada mana-mana pihak yang didaftarkan sebagai CMO yang diberi mandat oleh pemunya hak cipta untuk menguruskan hak royalti.
“Namun, ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dan sedang melakukan semakan kehakiman di mahkamah, serta KPDN, MyIPO dan Menteri KPDN sendiri telah dinamakan sebagai sebagai responden.
“Menjadi tanggungjawab saya yang memimpin KPDN hari ini untuk memastikan harta dan rezeki itu terus dinikmati oleh karyawan muzik bukan sahaja sepanjang karier mereka, tetapi selama karya berkenaan dimanfaatkan oleh pengguna,” katanya.
-- BERNAMA