KLANG, 27 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjadikan Thailand dan Jepun sebagai rujukan dalam melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap buah-buahan bermusim bagi pengeluaran sepanjang tahun.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata usaha berkenaan yang dilakukan Jabatan Pertanian (DOA) bersama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sejajar dengan objektif Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Tempatan.
“Kita sentiasa lakukan R&D terutama oleh pihak DOA dan MARDI untuk mengeluarkan benih baharu dan sebagainya. Misalnya, durian MARDI yang dikeluarkan baru-baru ini di Kuala Kangsar, sedap dan bermutu tinggi,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika berucap melancarkan Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan dan Sayur-Sayuran Tempatan Peringkat Kebangsaan di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata KPKM amat serius dalam usaha memartabatkan kembali buah-buahan tempatan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beliau berkata kerajaan juga telah memutuskan majlis rasmi kerajaan perlu dihidangkan dengan buah-buahan tempatan sebagai simbol sokongan terhadap pengeluaran petani tempatan serta memartabatkan produk sendiri.
"Ketika melawat ke Thailand sewaktu menjadi Menteri Pertahanan, saya dihidangkan makanan berasaskan buah dan sayur tempatan sepanjang berada di sana. Begitu juga Jepun, hampir seratus peratus tempatan," katanya.
Terdahulu, Mohamad menyempurnakan Majlis Penutup FAMA Fest 2025 @ Selangor yang berlangsung empat hari bermula 24 Julai lepas bagi mempromosikan industri makanan dan asas tani seperti buah-buahan, sayur-sayuran serta produk florikultur tempatan kepada masyarakat umum.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkipli berkata FAMA Fest 2025 @ Selangor berjaya mencapai sasaran apabila mencatat nilai jualan melebihi RM800,000 melibatkan penyertaan 50 usahawan tempatan dengan lebih 40,000 pengunjung.
Beliau berkata sejak diperkenalkan pada 2017, FAMA Fest menjadi antara pemangkin pertumbuhan ekonomi usahawan tani apabila pada 2024 mencatatkan lebih 492,000 pengunjung melibatkan 949 usahawan dengan jumlah jualan mencecah RM8.8 juta di seluruh negara.
-- BERNAMA