AM

PULAU PINANG CATAT NILAI HASIL TERNAKAN RM1.9 BILION TAHUN LEPAS

27/07/2025 07:52 PM

KEPALA BATAS, 27 Julai (Bernama) -- Pulau Pinang mencatatkan Nilai Hasil Ternakan (NHT) sebanyak RM1.9 bilion pada tahun lepas, menunjukkan peningkatan RM41.54 juta dari tahun sebelumnya, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Chow berkata komoditi terbesar yang menjadi penyumbang utama ialah ayam dan itik termasuk daging serta telur menyumbang sebanyak 91.75 peratus bagi NHT keseluruhan pada 2024.

"Umumnya, industri penternakan juga satu daripada sektor terpenting dalam sumber bekalan protein bagi kegunaan rakyat di negeri ini.

Menurut dapatan interim Bancian Pertanian Pulau Pinang 2023, sektor berkaitan penternakan  penyumbang terbesar, iaitu 44 peratus daripada nilai jualan pertanian keseluruhan bagi Pulau Pinang yang berjumlah RM3.514 bilion," katanya semasa berucap merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Pulau Pinang.

Program yang berlangsung di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Pulau Pinang itu bermula sejak Jumaat hingga hari ini dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Fahmi Zainol.

Chow berkata bagi industri ternakan mandiri seperti unggas dan khinzir, perlaksanaan Enakmen Penternakan Negeri bertujuan menggalakkan transformasi industri ternakan ini ke arah penternakan moden berskala komersial, iaitu 'modern farming'.

"Selain itu, kerajaan negeri juga terus menunjukkan komitmen jitu dalam meningkatkan produktiviti industri penternakan kecil dan tradisional seperti ruminan melalui sokongan Projek Pembangunan Industri Ternakan.

"Program berkaitan pencegahan, pengawalan dan pembasmian ‘penyakit ekonomi’ dan zoonosis juga dilihat sentiasa menjadi keutamaan bagi memastikan kesihatan awam terjamin serta menyokong kepada kemampanan industri penternakan di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Chow berkata pembangunan sektor pertanian di Pulau Pinang juga dipacu oleh Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0) 2021-2025 selaras dengan dasar Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang bertujuan memastikan bekalan makanan mencukupi, selamat dan tersedia untuk rakyat.

Kerajaan negeri turut memberi fokus kepada pembangunan taman pertanian strategik seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Ara Kuda dan Mayfield yang mengamalkan teknologi tinggi serta menjadi antara lima pengeluar hasil teratas negara berbanding 60 TKPM di seluruh negara.

"Taman Agro Batu Kawan dan Agropark Permatang Pauh juga berperanan sebagai hab pertanian moden dan pintar, melibatkan usahawan muda dalam usaha meningkatkan sekuriti makanan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan