DUNIA

GREECE MOHON BANTUAN EU UNTUK PADAM KEBAKARAN HUTAN DI SELURUH NEGARA

27/07/2025 09:50 PM

ATHENS, 27 Julai (Bernama-dpa) -- Kerajaan Greece merayu bantuan segera daripada Kesatuan Eropah (EU) bagi membantu memadam kebakaran yang sedang marak di beberapa kawasan di seluruh negara, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

"Kami memohon enam pesawat pemadam kebakaran daripada Mekanisme Perlindungan Awam EU," kata jurucakap pasukan bomba, Vassilis Vathrakogiannis, kepada radio Greece pada Ahad. Beliau memaklumkan yang dua pesawat dijangka tiba dari Itali pada sebelah petang.

Kebakaran tercetus di beberapa bahagian Greece akibat kemarau berpanjangan dan angin kencang. Pada Sabtu, anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran di utara Athens, di Pulau Crete, Kythira, dan Euboea, serta di Semenanjung Peloponnese.

Kebakaran di kawasan utara Athens berjaya dikawal dan jurucakap pasukan bomba menyatakan yang walaupun keadaan bertambah baik di kawasan lain, bahaya masih belum reda.

Ahli meteorologi sebelum ini memberi amaran akibat kemarau yang berpanjangan, walaupun hanya satu percikan api boleh mencetuskan kebakaran hutan.

Pihak berkuasa sedang menyiasat punca sebenar kebakaran itu.

--BERNAMA-dpa

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan