KUALA LUMPUR, Julai 28 (Bernama)—Seramai 18 peserta antarabangsa dari Asia Tenggara, Asia Tengah, Asia Selatan dan Afrika telah menghadiri program Executive Course on Strategic Management of Anti-Corruption Programme di bawah Malaysia Technical Cooperation Programme (MTCP) 2025 anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri.
Pengarah Kanan MACA, Dato’ Mohd Hafaz Nazar berkata, program yang diadakan dari 14 hingga 23 Julai lalu itu bukan sekadar pembangunan kapasiti tetapi manifestasi komitmen Malaysia dalam menjalinkan kerjasama strategik Selatan-Selatan (South-South Cooperation) yang diasaskan sejak 1980 melalui MTCP.
“Kami percaya bahawa ilmu dan pengalaman harus dikongsi secara bersama untuk memperkukuh tadbir urus dan integriti di peringkat global.
“Program ini memberi tumpuan kepada aspek pengurusan strategik dalam usaha pencegahan rasuah, termasuk isu-isu yang mencabar dalam landskap semasa seperti penyiasatan berasaskan perisikan, forensik digital, pemulangan aset rentas sempadan dan siasatan saintifik,” katanya.
Beliau berkata, modul-modul ini disampaikan oleh pakar serta pengamal berpengalaman dalam ekosistem antirasuah Malaysia, bertujuan menyediakan peserta dengan pendekatan praktikal yang boleh diterapkan dalam konteks negara masing-masing.
Mohd Hafaz turut menyeru semua peserta untuk berkongsi pengalaman negara masing-masing dan terlibat aktif dalam perbincangan serta simulasi senario dunia sebenar yang menjadi sebahagian daripada modul latihan.
Dalam majlis yang sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Luar Negeri atas kepercayaan dan sokongan berterusan terhadap MACA sebagai rakan strategik utama dalam bidang tadbir urus dan pencegahan rasuah di bawah MTCP.
MTCP merupakan program kerjasama teknikal yang diwujudkan oleh Kerajaan Malaysia pada 1980, bertujuan memperkukuh pembangunan negara-negara membangun melalui perkongsian kepakaran dan pengalaman dalam pelbagai bidang utama, termasuk antirasuah.
— BERNAMA