EKONOMI

TECHSTORE RAIH KONTRAK BERNILAI RM7.7 JUTA DI BAWAH PROJEK RTS LINK

28/07/2025 07:32 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- TechStore Bhd melalui unit milik penuhnya, Tech-Store Malaysia Sdn Bhd telah meraih kontrak bernilai RM7.75 juta daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan pajakan dan latihan untuk empat mesin pengimbas bagasi dan dua mesin pengimbas badan berserta aksesori.

Peralatan berkenaan akan ditempatkan di kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodlands North di Singapura di bawah projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, kata TechStore.

“Tempoh kontrak ialah selama 77 bulan bermula dari 1 Ogos, 2025 hingga 31 Disember, 2031,” kata penyedia penyelesaian teknologi maklumat (IT) itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Syarikat yang disenaraikan di Pasaran ACE itu berkata Tech-Store Malaysia akan mengemukakan bon prestasi sebanyak RM60,367.34, iaitu lima peratus daripada nilai kontrak yang dibahagikan kepada tempoh enam tahun dan lima bulan sebagai jaminan untuk pelaksanaan kerja-kerja yang sepatutnya dan wajar pada masanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Pengarah Urusan TechStore Tan Hock Lim berkata kontrak berkenaan memperluaskan lagi penglibatan syarikat dalam projek RTS Link, merangkumi perundingan reka bentuk untuk peralatan depoh dan kenderaan perkhidmatan, bekalan kuasa tanpa gangguan, pakej kerja perancangan sumber perusahaan (ERP) RTS, dan projek bagi kerja penyediaan kemudahan untuk agensi-agensi Malaysia di Woodlands North CIQ.

“Selain daripada projek RTS Link, kami turut terlibat dalam projek-projek besar seperti LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang, MRT Laluan Kajang dan projek LRT3 yang sedang berjalan.

“Dengan dorongan kerajaan yang semakin meningkat ke arah pendigitalan pengangkutan awam, kami melihat permintaan yang semakin tinggi untuk penyelesaian IT perusahaan yang bersepadu, selamat dan setempat,” katanya.

Nilai perolehan kontrak yang belum dibilkan kumpulan kekal sihat pada RM135.3 juta sehingga 31 Mei, 2025 disokong oleh aliran kerja yang mantap dengan nilai tender berjumlah RM1.2 bilion.

TechStore telah disenaraikan di Bursa Malaysia pada 18 Februari, 2025 dan penyenaraian itu telah berjaya mengumpul RM25 juta yang digunakan untuk mempercepatkan rancangan pertumbuhan dan meningkatkan kapasiti syarikat bagi melaksanakan projek-projek berskala lebih besar.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan