GEORGE TOWN, 28 Julai (Bernama) -- Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyita sebanyak 19 motosikal yang sengaja diletakkan untuk tujuan komersial dan perniagaan di sebuah premis membaiki motosikal sehingga menyebabkan halangan di laluan lorong belakang bangunan itu di sini.
MBPP dalam kenyataan memaklumkan operasi khas itu dijalankan oleh Unit Hiburan, Iklan, Garaj dan Lancang Air, Jabatan Pelesenan bersama Jabatan Penguatkuasaan kerana pemilik premis itu telah menyalahgunakan lorong belakang sebagai tempat meletak motosikal.
"Tindakan pemilik premis terbabit telah menyebabkan halangan di laluan lorong belakang bangunan, malah ia menyukarkan pergerakan penduduk, kenderaan kecemasan, penyelenggaraan serta menimbulkan masalah kepada kerja-kerja pembersihan.
"Tindakan penguatkuasaan itu diambil berdasarkan Akta Seksyen 3 Undang-undang Kecil Penang Municipal Garages by Laws 1952 dan Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974," menurut kenyataan itu hari ini.
MBPP memaklumkan selain tindakan penguatkuasaan, pegawai Jabatan Pelesenan turut memberikan teguran dan khidmat nasihat mengenai tatacara yang betul meletak motosikal untuk tujuan perniagaan supaya pemilik premis terbabit dapat mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.
Kesemua motosikal yang disita telah dibawa ke stor Jabatan Penguatkuasaan MBPP untuk tujuan penyimpanan, dokumentasi dan tindakan selanjutnya.
-- BERNAMA
TAG: MBPP, sita, motosikal, lorong belakang, premis baiki motosikal, halangan
EIY FBP HAZ