EKONOMI

EKONOMI MALAYSIA KEKAL DI LANDASAN PERTUMBUHAN DISOKONG PELBAGAI FAKTOR POSITIF - GABENOR BNM

28/07/2025 10:07 PM

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour yakin ekonomi Malaysia masih berada pada trajektori pertumbuhan yang kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan akibat pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS).

Ini berikutan permintaan dalam negeri yang kekal berdaya tahan dan eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) yang menggalakkan, katanya. 

Abdul Rasheed berkata antara gabungan faktor positif yang menyokong ekonomi termasuk eksport yang tinggi dalam tempoh enam bulan pertama, aktiviti pelancongan yang rancak, kadar pengangguran rendah dan kenaikan gaji.

Tambahan lagi, katanya, kira-kira 85 peratus daripada eksport Malaysia tertumpu ke ke pasaran lain selain AS, katanya.

Walaupun belum ada kepastian berhubung tarif yang dimuktamadkan, unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2025 oleh BNM yang disemak semula kepada 4.0 peratus hingga 4.8 peratus daripada unjuran awal 4.5 peratus hingga 5.5 peratus telah mengambil kira pelbagai senario, termasuk potensi gangguan perdagangan.

"Kami telah mengambil kira pelbagai senario tarif, termasuk hasil rundingan perdagangan yang berjaya dan tidak berjaya serta dasar propertumbuhan di ekonomi utama," katanya.

"Struktur eksport negara yang pelbagai akan membantu membendung kesan langsung daripada (tarif) AS kerana kira-kira 85 peratus eksport kita adalah ke pasaran bukan AS dan tiada pasaran tunggal menyumbang lebih daripada 15 peratus daripada eksport Malaysia," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif.

Beliau berkata eksport Malaysia merangkumi pelbagai produk, terdiri daripada Elektrik dan Elektronik (E&E) sebanyak 40 peratus, barangan pembuatan bukan E&E (46 peratus) dan komoditi (14 peratus).

Selain itu, hampir separuh daripada permintaan eksport Malaysia datang dari negara serantau, seperti ekonomi maju Asia  (19.4 peratus) dan ASEAN (29 peratus).

Di dalam negara, Abdul Rasheed berkata, lebih 90 peratus daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia didorong oleh permintaan dalam negeri.

"Penggunaan (domestik) masih kukuh walaupun pengumuman tarif, ia masih berdaya tahan kerana pendapatan masih berkembang. Gaji masih berada dalam aliran meningkat.

"Dari segi pengangguran kita melihat ia berada pada paras 3.0 peratus sekarang. Lebih rendah daripada apa yang kita lihat sebelum pandemik. Orang ramai mempunyai pekerjaan. Ini adalah perkara yang akan menyokong penggunaan," katanya sambil menambah langkah sokongan dasar kerajaan masih  berterusan dan menyokong pertumbuhan tersebut.

Pada 23 Julai, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pakej bantuan kos sara hidup yang merangkumi bantuan tunai SARA RM100 yang diberi sekali, penurunan harga bahan api RON95, penangguhan kenaikan tol dan penambahan peruntukan bagi inisiatif Jualan Rahmah Madani.

"Ini juga akan menyediakan sedikit perbelanjaan daripada rakyat dan memacu penggunaan domestik kita," kata Abdul Rasheed.

Mengenai pelaburan, beliau berkata Malaysia mencatatkan RM378 bilion pelaburan diluluskan tahun lepas, dengan lebih separuh disumbang daripada sumber domestik.

Ini sejajar dengan rancangan pembangunan jangka panjang negara dan momentum ini dijangka kekal sepanjang tahun ini hingga 2026, katanya.

Dari segi eksport, yang berkemungkinan sederhana pada separuh kedua 2025 apabila tarif berkuat kuasa dan pertumbuhan global semakin perlahan, BNM menjangkakan eksport E&E akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi.

Ini disokong oleh permintaan kukuh terhadap E&E dan peluang yang muncul dalam segmen berkaitan kecerdasan buatan (AI), katanya.

"Jadi di sinilah saya fikir timbul persoalan mengenai tarif. Eksport pasti akan terjejas, segala-galanya di dunia akan terjejas, namun, jika anda melihat kepada angka perdagangan global, ia masih berkembang.

"Walaupun persekitaran global yang mencabar, eksport kekal menyokong pertumbuhan pada separuh pertama 2025 dibantu oleh pertumbuhan kukuh eksport E&E.

“Aktiviti perdagangan awal menjelang jangkaan kenaikan tarif menyumbang kepada prestasi eksport yang lebih kukuh pada suku kedua 2025, walaupun aktiviti ini telah berkurangan terutamanya pada Jun,” katanya.

Abdul Rasheed berkata aktiviti pelancongan juga dijangka menyokong eksport pada separuh kedua 2025, didorong oleh kesalinghubungan penerbangan yang lebih tinggi, pengecualian visa dan aktiviti promosi kempen Melawat Malaysia 2026.

Beliau berkata ketibaan pelawat antarabangsa ke Malaysia berjumlah 16.9 juta dari tempoh Jan hingga Mei 2025, iaitu 20 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama 2024.

-- BERNAMA
 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan