ALOR SETAR, 28 Julai (Bernama) -- Malaysia memperkukuh usaha dan komitmen dalam pemuliharaan biodiversiti serantau dengan pencalonan tiga kawasan perlindungan sebagai Tapak Warisan ASEAN (AHP) pada Mesyuarat Lembaga Pemimpin Pusat Biodiversiti ASEAN (ACB GB) ke-27.
Mesyuarat itu, yang berlangsung di Langkawi hari ini, dipengerusikan oleh Setiausaha Bahagian Dasar, Perancangan dan Hal Ehwal Antarabangsa Filipina Jonas R. Leones (Pengerusi ACB GB) dan Setiausaha Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) S. Siva Kumar (Timbalan Pengerusi ACB GB).
NRES dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat telah memutuskan tiga tapak dicalonkan sebagai AHP iaitu Rizab Hidupan Liar Tengku Hassanal di Pahang serta Taman Negara Bako dan Taman Negara Bukit Lambir di Sarawak.
Menurut NRES, mesyuarat turut bersetuju dengan pencalonan tiga tapak baharu di Vietnam iaitu Taman Negara Xuan Thuy, Taman Negara Pu Mat serta Rizab Budaya dan Alam Semula Jadi Dong Nai.
“Selain itu, Enhancing Conservation and Restoration of Wetlands and Peatlands in ASEAN (EnCORE Wetlands) telah diperkenalkan secara rasmi dengan Taman Negara Maludam di Sarawak dipilih sebagai tapak perintis Malaysia bersama-sama Sanktuari Hidupan Liar Agusan Marsh di Filipina.
“Mesyuarat juga menyambut baik penggubalan Pelan Kepelbagaian Biologi ASEAN (ABP) 2024 hingga 2030 yang diselaraskan dengan Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal (KM-GBF),” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat ACB GB diadakan bagi memperkukuh inisiatif biodiversiti serantau dan memuktamad persiapan penyertaan ASEAN ke Persidangan Pihak-Pihak yang memeterai Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim ke-17 (COP 17) dan Konvensyen Mengenai Kepelbagaian Biologi (CBD) yang berlangsung di Yerevan, Armenia tahun depan.
Antara agenda utama mesyuarat yang dihoskan NRES itu ialah penyelarasan pelan tindakan bagi pembangunan Kenyataan Bersama ASEAN (AJS) mengenai biodiversiti yang mencerminkan keutamaan serantau dan akan disampaikan oleh Pengerusi ASEAN 2026 semasa segmen peringkat tinggi di COP 17.
Proses pembangunan AJS membabitkan siri perundingan bersama negara anggota ASEAN dan dijangka dimuktamad pada pertengahan 2026.
-- BERNAMA