DUNIA

AZERBAIJAN MOHON SOKONGAN GLOBAL UNTUK CAPAI MASA DEPAN BEBAS PERIUK API

29/07/2025 01:17 AM

Oleh Suraidah Roslan & Ahmad Idzwan Arzmi

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Azerbaijan menyeru masyarakat antarabangsa agar memberikan sokongan politik, bantuan kewangan dan kepakaran teknikal bagi membantu negara itu mencapai matlamat masa depan bebas daripada periuk api.

Duta Azerbaijan ke Malaysia Irfan Davudov berkata beliau berharap negara lain, termasuk Malaysia, akan menyokong inisiatif Azerbaijan untuk diiktiraf secara global di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Kami mengharapkan kerajaan Malaysia membuat keputusan mengenai isu ini. Saya percaya bantuan kewangan atau teknikal daripada Malaysia amat dihargai,” katanya kepada Bernama selepas Seminar Antarabangsa Menuju Dunia Bebas Periuk Api – Kes Azerbaijan, di sini pada Isnin.

Beliau berkata Agensi Tindakan Periuk Api Azerbaijan (ANAMA) berperanan penting dalam proses mengeluarkan periuk api di Azerbaijan, yang dijangka mengambil masa sekitar 20 tahun dan memerlukan kira-kira US$25 bilion untuk pembiayaan.

Walaupun proses mengeluarkan periuk api ini memerlukan tempoh masa yang panjang, beliau yakin ia dapat dicapai dengan sokongan negara lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Pusat Tindakan Periuk Api Serantau ASEAN (ARMAC) Shaharuddin Onn berkata ARMAC menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan Azerbaijan di peringkat antarabangsa,  memandangkan ARMAC turut menyumbang kepada dialog global mengenai tindakan kemanusiaan terhadap periuk api.

Shaharuddin, yang juga Duta Besar Malaysia ke Kemboja berkata ARMAC menerima kunjungan Pihak Berkuasa Tindakan Periuk Api Azerbaijan (ANAMA) pada 2024 bagi memperkenalkan model ASEAN mengenai koordinasi antara agensi dalam membantu mangsa dan pendekatan pemulihan terhadap pencemaran periuk api.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama antara ARMAC dan ANAMA. Perkongsian ini bersifat tersuai, kolaboratif dan berasaskan penyelesaian berfokuskan siber. Malah, saya melihat seminar hari ini sebagai sebahagian daripada jambatan kerjasama yang semakin berkembang antara kedua-dua pihak.

Saya bercakap bagi pihak ARMAC yang kami menegaskan semula komitmen kami terhadap kerjasama yang lebih kukuh, termasuk bantuan kepada mangsa. Saya percaya bersama-sama kita boleh dan mesti membersihkan jalan menuju pencapaian SDG 16, ke arah keamanan dan masa depan bebas periuk api,” kata beliau.

SDG 16 merujuk kepada Matlamat Pembangunan Mampan ke-16 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjelang 2030, yang memberi tumpuan kepada keamanan dan tanpa keganasan, akses kepada keadilan, serta perlindungan terhadap asas kebebasan.

 

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan