SEREMBAN, 29 Julai (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima zakat perniagaan berjumlah RM6,714,304.20 juta daripada empat syarikat korporat kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), di Istana Hinggap di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim.
Penyerahan zakat berkenaan didahului Lembaga Tabung Haji diwakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang menyerahkan zakat berjumlah RM4,242,779.20.
Maybank Islamic Berhad diwakili Penasihat Syariahnya Muhammad Ali Jinnah Ahmad menyerahkan zakat RM1,100,000, manakala Bank Rakyat diwakili Ahli Lembaga Pengarah Tunku Datuk Ahmad Burhanuddin Tunku Adnan menyerahkan zakat berjumlah RM871,525.
Sime Darby Property (Nilai) Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Azmir Merican, menyerahkan zakat berjumlah RM500,000.
Tuanku Muhriz kemudian berkenan menyerahkan zakat tersebut kepada Pengerusi MAINS Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir.
-- BERNAMA