JENAYAH & MAHKAMAH

APMM PULAU PINANG TAHAN ENAM NELAYAN INDONESIA CEROBOH PERAIRAN NEGARA

29/07/2025 02:56 PM

GEORGE TOWN, 29 Julai (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan enam nelayan Indonesia yang menceroboh perairan Malaysia untuk menangkap ikan tanpa kebenaran di kedudukan 40 batu nautika barat laut Pulau Kendi, dekat sini semalam.

Pengarah APMM Pulau Pinang Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata dalam kejadian pada 11.50 pagi itu, pihaknya telah mengesan sebuah Vesel Nelayan Asing (VNA) berada dalam keadaan mencurigakan dan pasukan penguat kuasa yang sedang menjalankan rondaan segera menghampiri bot terbabit untuk pemeriksaan lanjut.

"Hasil pemeriksaan mendapati VNA itu tidak memiliki nombor pendaftaran yang sah dan dikendalikan oleh enam kru nelayan termasuk seorang tekong yang kesemuanya warga Indonesia berumur antara 19 hingga 52 tahun.

“Kesemua nelayan itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai memasuki perairan negara secara haram, mereka ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhammad Suffi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa pas atau permit sah dan Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan