AM

PULAU PINANG KENAL PASTI LOKASI BANGUNKAN PROJEK SOLAR TERAPUNG

29/07/2025 03:51 PM

GEORGE TOWN, 29 Julai (Bernama) -- Pulau Pinang bercadang membangunkan projek solar terapung sejajar usaha kerajaan negeri mencapai sasaran 10 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata projek itu dilihat sebagai alternatif, sesuai dalam usaha memperluas penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui berikutan kekangan tanah di Pulau Pinang serta kos tinggi sekiranya mahu membangunkan ladang solar atas tanah.

Beliau berkata ketika ini pihaknya sedang mempertimbangkan beberapa lokasi strategik yang berpotensi bagi pelaksanaan projek tersebut, antaranya kawasan empangan seperti Empangan Teluk Bahang dan Empangan Mengkuang.

“Empangan memang paling sesuai bagi projek solar terapung ini dari segi keluasan dan juga kestabilan air, tidak seperti di laut ada cabarannya tersendiri malah kaedah pemasangan panel juga berlainan.

“Tetapi banyak perkara perlu diteliti terlebih dahulu memandangkan empangan merupakan sumber bekalan air minuman dan ia di bawah pengurusan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP). Jadi, itu memerlukan kelulusan dan juga kajian lebih teliti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malaysian Photovoltaic Sustainable Energy Association (MPSEA) Solar Roadshow 2025 di sini, hari ini.

Zairil turut menekankan kepentingan projek solar terapung di Pulau Silikon, memandangkan kawasan tersebut sedang giat dibangunkan dan memerlukan sumber tenaga boleh diperbaharui sebagai alternatif bekalan tenaga.

Justeru itu beliau berkata kerajaan negeri akan berusaha mempercepat pelaksanaan projek tersebut dalam masa terdekat, khususnya bagi menyokong pembangunan di pulau buatan itu sebagai hab teknologi hijau baharu negeri.

“Di Pulau Silikon memang perlu sebab kawasan pertama yang akan dibangunkan ialah taman teknologi. Dalam tempoh dua tahun kilang akan mula beroperasi, jadi kita perlu tenaga boleh diperbaharui khususnya solar,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Zairil berkata kerajaan negeri komited untuk mempromosikan kecekapan tenaga melalui Kerangka Tenaga Pulau Pinang yang telah diterima pakai pada tahun 2024, dengan menetapkan sasaran jelas iaitu 10 peratus tenaga boleh baharu dan peningkatan kecekapan tenaga sebanyak 25 peratus menjelang tahun 2030.

“Kerangka ini mewajibkan pemasangan dan penggunaan sistem tenaga boleh baharu bagi semua bangunan bukan kediaman yang baharu, serta memerlukan pengumpulan data keamatan tenaga bangunan bagi semua bangunan di Pulau Pinang,” katanya.

Zairil berkata kerajaan negeri juga akan memperluas kerangka tenaga ini bagi merangkumi penggunaan tenaga dalam sektor lain seperti industri dan pengangkutan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan