KOTA KINABALU, 29 Julai (Bernama) -- Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini melaksanakan penembakan misil Exocet dan torpedo Black Shark dalam Eksesais TAMING SARI 23/25 di Laut China Selatan, dalam usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan pertahanan maritim negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata eksesais itu melibatkan penembakan Misil Exocet MM40 oleh KD Lekiu dan KD Lekir, serta penembakan Misil Exocet SM39 secara koordinasi dari kapal selam KD Tunku Abdul Rahman.
Beliau berkata eksesais itu turut mencatatkan sejarah apabila buat julung kalinya melibatkan penembakan torpedo Black Shark dalam konfigurasi perang oleh kapal selam KD Tun Razak.
“Bagi misil Exocet, penembakan dilakukan pada jarak lebih daripada 30 kilometer, manakala bagi torpedo Black Shark pula dalam jarak kurang daripada 10 kilometer. Eksesais seperti ini, suatu keperluan bagi kita untuk meningkatkan kesiapsiagaan serta keupayaan angkatan tentera kita.
“Ia bertujuan memastikan pada setiap masa, dalam apa juga keadaan, angkatan tentera kita sentiasa berkompetensi dalam mempertahankan negara,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan eksesais itu di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain, Ketua Staf Markas ATM Left Jen Datuk Azhan Md Othman, dan pegawai-pegawai kanan TLDM.
Eksesais TAMING SARI 23/25 disempurnakan bersama Eksesais KERISMAS 28/25 bermula dari 8 hingga 31 Julai ini, bermula di Pangkalan TLDM Lumut dan berakhir di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.
Ia merangkumi kawasan Zon Maritim Malaysia di Laut China Selatan dengan memfokuskan kepada kemampuan beroperasi dalam pelbagai domain maritim serta keupayaan operasi antara unit yang terlibat.
Mohamed Khaled berkata eksesais tersebut melibatkan 15 kapal dan dua kapal selam TLDM, disokong aset Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Beliau berkata eksesais itu turut bertujuan menilai status semasa aset pertahanan negara terutama daripada TLDM, memandangkan ada di antaranya telah berusia, namun masih berada pada tahap optimum bagi mencapai objektif pertahanan negara.
“Setakat ini, semua aset berfungsi dengan baik, tetapi ini tidak bermakna kita tidak mempunyai perancangan jangka panjang. Kita sedar akan keadaan aset-aset berusia. Semua perkhidmatan kita sedang melalui proses pemodenan di bawah dasar angkatan masa hadapan.
“Kita perlu fahami pentingnya kesiagaan. Doktrin pertahanan kita bukan untuk menyerang negara lain tetapi untuk membangunkan keupayaan mempertahankan negara. Pertahanan negara bukan hanya bergantung kepada pemilikan aset tetapi juga keupayaan anggota kita melaksanakan tanggungjawab,” katanya.
-- BERNAMA