AM

110 PELAJAR SARAWAK TERIMA TAJAAN PENDIDIKAN PETRONAS

29/07/2025 05:27 PM

KUCHING, 29 Julai (Bernama) -- Sebanyak 110 pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 dari Sarawak menerima tajaan utama Petronas Powering Knowledge berjumlah RM28 juta bagi melanjutkan pengajian di universiti terkemuka dalam dan luar negara.

Pelajar berkenaan adalah mereka yang telah disenarai pendek daripada 9,000 pemohon, berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan serta penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum

Kesemua mereka akan melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia, kejuruteraan petroleum, ekonomi, undang-undang dan kursus berkaitan industri lain di Universiti Teknologi Petronas (UTP) serta universiti terkemuka tempatan dan luar negara, termasuk di United Kingdom dan Australia.

Tajaan itu disampaikan Menteri Wanita, Kanak-kanak dan Kebajikan Masyarakat Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam majlis di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengurus Besar Kanan (Kepakaran Modal Insan) Petronas Akmal Niza Ahmad.

Fatimah dalam ucapannya bagi pihak kerajaan negeri, mengucapkan terima kasih kepada Petronas atas sokongan berterusan dan komitmen syarikat berkenaan dalam membangun bakat anak Sarawak.

“Hubungan antara Petronas dan Sarawak telah terjalin sekian lama dan amat kukuh, malah usaha yang ditunjukkan Petronas secara konsisten mencerminkan pemahaman mendalam terhadap nilai sebenar modal insan,” katanya.

Beliau berkata dengan melabur dalam pendidikan dan pembangunan belia Sarawak, Petronas turut membantu negeri itu membina asas masa depan yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan inklusif.

“Ia selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID negeri yang menyasarkan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2030.

“Teras utama visi ini ialah penekanan terhadap pembangunan bakat serta memperluas peluang pendidikan di semua peringkat - daripada pendidikan awal kanak-kanak hingga pengajian tinggi, merangkumi laluan akademik serta latihan teknikal dan vokasional,” katanya.

Sementara itu, Akmal Niza berkata menerusi inisiatif Powering Knowledge, pihaknya menyokong pelbagai program yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia merentasi lapisan masyarakat.

“Ini adalah sebahagian daripada komitmen kita untuk memperkukuh usaha berterusan dalam pelaburan bakat masa depan Petronas, industri dan negara,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada 1975, tajaan pendidikan Petronas telah memberi manfaat kepada lebih 40,000 pelajar Malaysia termasuk lebih 1,300 pelajar Sarawak yang menerima tajaan itu sejak 2003.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan