KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi Rentas Sempadan 2025 mampu menyokong matlamat jangka panjang negara dalam menarik pelaburan langsung asing di samping memperkukuh kestabilan ekonomi negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata penggubalan RUU itu mencerminkan komitmen Malaysia terhadap piawaian perundangan antarabangsa yang progresif.
Beliau berkata RUU itu juga diyakini akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara mesra pelabur dan perdagangan seiring dengan cabaran dan kehendak globalisasi.
“Dengan mengiktiraf prinsip-prinsip standard global seperti Model Law on Cross-Border Insolvency (MLCBI), Malaysia akan lebih diyakini oleh pelabur asing dari segi kejelasan, ketelusan dan keberkesanan penyelesaian pertikaian rentas sempadan berkaitan insolvensi.
“Perkara ini dapat membantu pelabur mengetahui jangkaan dalam berdepan apa-apa jua risiko kewangan sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur luar untuk membuat pelaburan dan mengembangkan perniagaan di Malaysia," katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu di Dewan Rakyat, Selasa.
Persidangan Dewan Rakyat hari ini meluluskan RUU Insolvensi Rentas Sempadan 2025 yang bertujuan mewujudkan mekanisme berkesan bagi menguruskan kes insolvensi rentas sempadan.
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 11 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Terdahulu, ketika membentangkan RUU itu untuk bacaan kali kedua, Azalina berkata insolvensi rentas sempadan dalam konteks syarikat korporat merujuk kepada prosiding insolvensi yang dibawa terhadap syarikat korporat yang mengalami krisis kewangan dan tidak berkemampuan untuk membayar hutangnya, dan mempunyai pemiutang dan aset di lebih daripada satu negara.
Beliau berkata RUU itu menggalakkan kerjasama rasmi antara mahkamah dan pihak berkuasa pentadbiran insolvensi di Malaysia dan negara asing, yang sebelum ini hanya bergantung kepada prinsip “comity”.
“Ia menyediakan kepastian undang-undang kepada pelabur dan pihak berkepentingan dengan menetapkan prosedur jelas berkaitan pengiktirafan prosiding asing, akses mahkamah dan pemberian relief.
"RUU ini menyokong usaha penyelamatan perniagaan yang masih berdaya maju, seiring dengan pindaan terkini kepada Akta Syarikat 2016, seterusnya melindungi pelaburan dan pekerjaan rakyat,” katanya.
-- BERNAMA