EKONOMI

TUBUH KEMENTERIAN BAHARU ATAU AGENSI PUSAT PANTAU PELAKSANAAN RMK-13 – AHLI AKADEMIK.

30/07/2025 10:57 AM

Oleh Anas Abu Hassan & Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Penubuhan sebuah kementerian atau agensi pusat untuk memantau pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mampu menjadi pemangkin kepada pembaharuan menyeluruh kerajaan, kata seorang ahli akademik.

Pengarah Institut Pengangkutan Malaysia (MiTRANS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Dr Wan Mazlina Wan Mohamed berkata saranan itu juga menekankan keperluan penyelarasan berpusat, pelaporan tahunan, dan penanda aras yang jelas bagi memastikan kemampanan rancangan itu.

"Laporan kemajuan tahunan perlu diterbitkan bagi meningkatkan ketelusan dan menilai hasil yang dicapai.

“Rancangan ini tidak seharusnya dilaksanakan tanpa mekanisme pemantauan yang betul,” katanya kepada Bernama.

Beliau menegaskan tanpa badan penyelaras yang khusus, pelaksanaan program pembangunan di bawah RMK-13 berisiko terus berdepan pelaksanaan yang tidak seimbang, dengan pelbagai agensi dan kementerian beroperasi secara berasingan tanpa penyelarasan.

Ketiadaan hasil yang boleh diukur, katanya, juga menyukarkan penilaian terhadap keberkesanan dasar.

“Rancangan mungkin wujud di atas kertas, tetapi tanpa mekanisme pelaksanaan yang mantap, ia berisiko terperangkap dalam penurunan momentum terhadap dasar tersebut dan kegagalan merebut peluang, khususnya dalam menangani trend yang pesat berubah seperti mobiliti, logistik, kelestarian dan pendigitalan,” katanya.

Justeru, Wan Mazlina menegaskan bahawa pelantikan badan penyelaras pusat adalah penting untuk memastikan pelaksanaan RMK13 berjalan dengan lancar dan berkesan.

 

Fungsi Utama Badan Penyelarasan Pusat

 

Menurut Wan Mazlina, badan berkenaan perlu berfungsi sebagai agensi penyelaras bagi memacu reformasi jangka panjang kerajaan secara menyeluruh.

Ia juga perlu membangunkan pelan hala tuju yang jelas dengan garis masa dan penunjuk prestasi yang ditetapkan bagi memastikan pelaksanaan yang berstruktur dan berakauntabiliti melibatkan kementerian sedia ada.

“Agensi ini akan menyelaras usaha antara kementerian dan kerajaan negeri, di samping melibatkan sektor swasta dan masyarakat sivil untuk kerjasama yang lebih luas.

“Laporan kemajuan tahunan perlu diterbitkan bagi memastikan ketelusan dan mengukur hasil yang dicapai. Paling penting, kewujudan badan khusus ini membolehkan dasar dikaji semula dan disesuaikan mengikut cabaran global dan tempatan yang berubah-ubah,” katanya.

 

Fokus Utama RMK13: Infrastruktur Pengangkutan

 

Mengulas mengenai sektor pengangkutan, Wan Mazlina berpendapat supaya kerja-kerja naik taraf lapangan terbang di Malaysia diutamakan di bawah RMK-13 bagi menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Tanpa peningkatan dan pemodenan lapangan terbang, beliau berkata negara berisiko ketinggalan berbanding pesaing serantau, sekali gus menjejaskan pengalaman pelancong dan kapasiti logistik negara.

Berbanding pesaing serantau seperti Singapura (Changi) dan Thailand (Suvarnabhumi), mereka dilihat sedang giat menaik taraf lapangan terbang masing-masing Malaysia perlu melakukan perkara sama untuk kekal berdaya saing kerana lapangan terbang membentuk tanggapan pertama dan terakhir pelawat terhadap negara ini, katanya.

Wan Mazlina turut menekankan keperluan menambah kapasiti terminal di pintu masuk utama antarabangsa seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu, selain menambah baik sistem imigresen dan kastam melalui automasi termasuk penggunaan e-gate dan sistem biometrik.

Selain itu, beliau juga menyentuh kepentingan menyokong pembangunan lapangan terbang domestik dan sekunder, khususnya di Terengganu, Sabah, Sarawak serta lapangan terbang landasan pendek (STOL).

“Penaiktarafan ini penting untuk menampung pertumbuhan pelancongan domestik, menyokong pembangunan luar bandar dan memperkukuh perkhidmatan kargo udara, terutamanya yang berkaitan dengan e-dagang dan sektor pertanian,” kata pakar ekonomi itu.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan