AM

HKN 2025 CATAT JUALAN LEBIH RM1 JUTA - SKM

29/07/2025 08:33 PM

MELAKA, 29 Julai (Bernama) -- Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad lepas mencatatkan jualan lebih RM1.09 juta.

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memaklumkan HKN 2025 bertemakan “Koperasi Memperkasa Komuniti, Membina Negara MADANI” itu juga meraih potensi jualan berjumlah RM21.71 juta, sekali gus menunjukkan impak ekonomi yang signifikan kepada ekosistem koperasi tempatan.

“Sambutan itu juga mencatatkan kehadiran 58,114 pengunjung jauh melepasi sasaran awal sebanyak 50,000 pengunjung, sekali gus membuktikan sambutan positif orang ramai terhadap usaha kerajaan merakyatkan koperasi menerusi program yang menyasarkan komuniti khususnya kumpulan B40.

“Program MyFutureJobs On The Go pula berjaya menarik kehadiran 655 individu yang diberikan akses terus kepada peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor menerusi kerjasama dengan syarikat dan perusahaan yang mengambil bahagian,” menurut SKM dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, perkembangan gerakan koperasi di Malaysia terus menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan dengan 16,284 koperasi di seluruh negara membabitkan pelbagai sektor ekonomi.

“Keanggotaan melebihi 7.2 juta orang iaitu hampir satu perlima daripada populasi negara kini merupakan anggota koperasi.

“Pencapaian ini turut disokong oleh jumlah perolehan sektor koperasi sebanyak RM68.1 bilion yang mencerminkan tahap keyakinan dan penerimaan masyarakat terhadap koperasi sebagai platform pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan,” menurut kenyataan itu.

SKM turut memaklumkan aset terkumpul sektor koperasi mencecah RM173 bilion hasil penggembelengan modal syer dan yuran keanggotaan berjumlah RM18.3 bilion pada 2024.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan