AM

TIGA PASANGAN KEMBAR ANTARA PELAJAR BAHARU MENDAFTAR DI POLITEKNIK UNGKU OMAR

29/07/2025 08:25 PM

IPOH, 29 Julai (Bernama) -- Tiga pasangan kembar antara 1,727 pelajar baharu yang mendaftar di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini bagi melanjutkan pengajian dalam bidang masing-masing.

Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PUO Mohd Fakrul Razi Jamaluddin berkata kesemua pelajar berusia 18 tahun mendaftar di institusi pengajian tinggi itu pada hujung minggu lepas.

"Pasangan kembar itu ialah Nurul Syafriena dan Nurul Syafrieza Nasarudin dari Rawang, Selangor yang akan mengikuti pengajian Diploma Pengajian Perniagaan manakala Saw Xin Ying dan Saw Xin Yi pula mendaftarkan diri mereka sebagai pelajar Diploma Kejuruteraan Elektronik (Komputer).

"Pasangan D. Sharran dan D. Sharanie pula memilih jurusan Diploma Perakaunan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Fakrul Razi berkata pasangan kembar berkenaan menyerikan lagi suasana pendaftaran dan mencerminkan tarikan PUO sebagai institusi pendidikan tinggi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama.

Beliau berkata PUO mencapai kejayaan cemerlang apabila mencatatkan 100 peratus pendaftaran pelajar baharu bagi sesi 1 2025/2026, sekali gus menepati sasaran penuh norma ambilan institusi dengan 914 pelajar mendaftar secara rasmi pada 26 Julai  dan 813 pelajar pada keesokan harinya.

"Seluruh warga kerja PUO menyambut pencapaian 100 peratus ini dengan penuh semangat. Kejayaan ini mencerminkan kepercayaan ibu bapa dan pelajar terhadap kualiti pendidikan serta persekitaran kondusif yang ditawarkan oleh PUO," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan