Oleh Nurliyana Farhah Ruslan
KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Masyarakat khususnya anak muda perlu mengubah cara berfikir daripada "dapat gaji, belanja" kepada pendekatan lebih berhemat "dapat gaji, bina kewangan" bagi membentuk generasi celik kewangan dalam membina masa depan yang stabil dan terjamin.
Pakar kewangan turut melahirkan kebimbangan terhadap trend yang semakin merisaukan dalam kalangan belia, khususnya golongan muda profesional di kawasan bandar yang cenderung berbelanja melebihi kemampuan demi memenuhi kehendak dan kepuasan segera.
Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) melaporkan daripada 119,297 kes kebankrapan yang masih aktif hingga Jun 2025, sebahagian besar kes melibatkan individu berusia antara 35 hingga 44 tahun, iaitu melibatkan 10,336 kes atau 39.7 peratus.
Pegawai Insolvensi Utama Bahagian Kebankrapan MdI Zarina Alias berkata statistik dari 2021 hingga Jun 2025 turut menunjukkan sebanyak 26,060 kes baharu didaftarkan dan kesemua ini masih dalam pentadbiran jabatan berkenaan.
“Kalau kita lihat faktor utama penyebab kebankrapan ialah pinjaman peribadi (47.62 peratus), diikuti pinjaman perniagaan dan pembiayaan kenderaan. Pinjaman peribadi sering digunakan untuk menampung hutang sedia ada atau pembiayaan perbelanjaan harian seperti perkahwinan dan pengubahsuaian.
“Jadi, tahap kemampuan itu perlu dilihat sama ada mampu atau tidak untuk kita bayar barangan tersebut. Contohnya, beg tangan yang biasa atau berjenama, jadi sekarang adakah itu suatu keperluan ataupun kehendak? Golongan muda perlu ukur baju di badan sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Selain itu, beliau berkata gaya hidup mewah seperti membeli iPhone dan kereta kini menjadi trend, terutamanya dalam kalangan pelajar yang sudah memiliki kenderaan sejak awal, namun pengurusan kewangan tetap perlu diutamakan.
Sementara itu, pensyarah di Jabatan Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Prof Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin berkata laporan terkini daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendedahkan bahawa tahap literasi kewangan rakyat Malaysia masih berada pada paras membimbangkan, terutama dalam aspek pengurusan simpanan dan keupayaan menghadapi kecemasan kewangan.
“Laporan BNM bagi tahun 2021 dan 2024 menunjukkan hampir 50 peratus rakyat Malaysia tidak mampu menampung perbelanjaan selama tiga bulan jika kehilangan sumber pendapatan. Malah, hanya 24 peratus mampu bertahan lebih tiga bulan dengan simpanan sendiri, jauh lebih rendah berbanding standard antarabangsa,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata gelojak jiwa orang muda dalam memenuhi budaya FOMO (Fear of Missing Out) yang mendorong mereka berbelanja demi mengikut trend perlu diganti dengan JOMO (Joy of Missing Out), iaitu kepuasan kerana membuat keputusan berdasarkan nilai dan matlamat peribadi.
“Tukar mentaliti daripada ‘kawan beli, aku pun kena beli’ kepada ‘aku beli yang sesuai dengan bajet dan keperluan aku’. Gaya hidup tak perlu diseragamkan yang penting selesa dan mampan, tabiat kewangan boleh dibentuk melalui amalan seperti ‘pay yourself first’, iaitu menyimpan sebahagian daripada gaji sebaik menerimanya, sebelum berbelanja keperluan harian,” katanya.
Beliau turut menyarankan supaya pendapatan bulanan dibahagikan mengikut kategori asas, iaitu 50 peratus untuk keperluan (seperti sewa, bil dan pengangkutan), 30 peratus untuk kehendak (hiburan dan pakaian) serta 20 peratus untuk simpanan dan pelaburan termasuk dana kecemasan, namun panduan asas itu boleh diubah mengikut keperluan dan komitmen individu.
Muhammad Irwan berkata masyarakat perlu mewujudkan simpanan berasingan mengikut matlamat kewangan tertentu seperti dana kecemasan, pendidikan dan ibadah bagi memastikan perancangan kewangan lebih tersusun dan tidak mudah terganggu.
“Bagi simpanan pendidikan, platform seperti Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) atau Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang menawarkan pulangan stabil dalam jangka masa panjang, manakala akaun Tabung Haji (TH) pula sesuai untuk matlamat ibadah kerana ia patuh syariah, memberikan pulangan yang kompetitif dan dilunaskan zakat,” katanya.
Beliau berkata golongan muda Islam perlu membina kewangan seimbang antara keperluan duniawi dan ukhrawi dengan memasukkan simpanan haji sebagai sebahagian perancangan kewangan jangka panjang, seiring matlamat lain seperti dana kecemasan dan pendidikan.
“Jika kita lihat, kos menunaikan haji semakin meningkat dan secara realistiknya ia boleh mencecah hingga RM60,000 menjelang 2035, berdasarkan trend semasa. Pertamanya, kerajaan Arab Saudi telah melaksanakan pembaharuan ekonomi termasuk cukai (VAT), caj visa, serta peningkatan kos penginapan, makanan dan pengangkutan.
“Faktor kedua, nilai ringgit yang tidak stabil berbanding Riyal Saudi juga memberi kesan langsung kepada kos yang ditanggung oleh jemaah Malaysia,” katanya.
Felo Majlis Belia Malaysia Adli Amirullah pula berpandangan konsep qanaah atau rasa cukup wajar dijadikan asas dalam pendidikan kewangan generasi muda bagi membentuk budaya kewangan yang lebih beretika dan mampan.
“Dalam konteks ini juga, anak muda turut perlu memahami konsep wasatiyyah iaitu keseimbangan di mana kita rasa cukup dengan apa yang ada.
"Pada masa sama tetap berusaha untuk meningkatkan pendapatan, bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi dapat dikongsi bersama orang lain yang memerlukan dan paling penting dapat menabung bagi menyempurnakan rukun Islam kelima,” katanya.
Pemberian insentif seperti pelepasan cukai kepada anak muda yang menyimpan untuk menunaikan haji juga dilihat mampu menjadi pemangkin untuk mengubah tabiat kewangan golongan itu ke arah lebih berdisiplin dan berfokus.
“Sekiranya pelepasan cukai seperti SSPN terbukti berkesan untuk tujuan pendidikan, pendekatan serupa juga wajar dipertimbangkan untuk simpanan ibadah haji, terutamanya dalam kalangan belia.
"Ini secara tidak langsung memberikan dorongan kepada anak muda jika mereka tahu ada ganjaran jangka pendek seperti rebat cukai, mereka mungkin akan lebih terdorong untuk mula menyimpan,” katanya.
Dalam pada itu, Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menasihati golongan muda supaya membuat perancangan kewangan dengan mula menyimpan seawal mungkin.
Beliau berkata itu termasuk untuk tujuan menunaikan haji walaupun dengan jumlah kecil seperti RM50 sebulan, selain penggunaan kemudahan auto debit daripada gaji sebagai langkah konsisten ke arah merealisasikan impian bergelar Duyufurrahman.
-- BERNAMA