TOKYO, 30 Julai (Bernama-Kyodo) -- Agensi Meteorologi Jepun pada Rabu mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pesisir pantai Pasifik negara itu susulan gempa bumi bermagnitud 8.7 yang melanda perairan berhampiran Semenanjung Kamchatka, Rusia, lapor Agensi Berita Kyodo.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa itu berlaku 126 kilometer (km) ke timur-tenggara Petropavlovsk-Kamchatsky pada kedalaman 18.2 km.
Setakat ini, masih belum diketahui sama ada terdapat kerosakan atau kecederaan di wilayah timur jauh Rusia.
Agensi kaji cuaca Jepun itu berkata tsunami setinggi sehingga tiga meter berkemungkinan melanda pantai di Hokkaido, utara Jepun dan Kepulauan Ogasawara di selatan negara itu.
Agensi itu turut memaklumkan gegaran pada tahap dua skala intensiti seismik Jepun (maksimum tujuh) turut direkodkan di Hokkaido.
-- BERNAMA-KYODO