KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mempergiat usaha memperkasakan empat strategi utama bagi memastikan sasaran ketibaan pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dapat dicapai.
Timbalan Menteri Pelancongan Khairul Firdaus Akbar Khan berkata antara strategi digariskan termasuk memfokuskan kepada pasaran bersasar dari negara seperti China, India, Australia, Indonesia, Asia Tengah, Rusia, Timur Tengah, United Kingdom, Taiwan dan Jerman, tanpa mengabaikan pasaran ASEAN.
"Selain itu, kita meningkatkan aliran trafik pelawat ke Malaysia melalui penambahan laluan penerbangan baharu yang menghubungkan bandar-bandar utama di Malaysia dengan destinasi antarabangsa.
"...sekali gus kita dapat meningkatkan kapasiti tempat duduk ke negara ini, melalui pemberian insentif Geran Sokongan Penerbangan Antarabangsa dan Charter (GSPC) ," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai langkah-langkah kementerian bagi memastikan sasaran TMM2026 dapat dicapai.
Khairul Firdaus berkata strategi ketiga pula melibatkan kerjasama strategik dengan syarikat agensi pelancongan, termasuk agensi pelancongan dalam talian bagi menawarkan pakej pelancongan yang menarik, kompetitif dan bernilai tambah.
Pelan liberalisasi visa oleh Kementerian Dalam Negeri, juga katanya telah menunjukkan impak yang besar terhadap sektor pelancongan negara, khususnya dalam menarik pelancong dari China dan India.
-- BERNAMA