AM

PANDUAN PEMBANGUNAN SEKOLAH MENEGAK AMBIL KIRA FAKTOR KESELAMATAN MURID

30/07/2025 12:05 PM

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) telah memuktamadkan Panduan Perancangan Pembangunan Sekolah Secara Menegak dengan beberapa prinsip reka bentuk asas sekolah diambil kira, termasuk pengawasan dan keselamatan murid.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata panduan itu seterusnya akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam masa tedekat.

Beliau berkata dalam menentukan konsep sekolah menegak KPM mempertimbangkan banyak aspek antaranya keselamatan pergerakan vertikal, akses untuk murid berkeperluan pendidikan khas, kesejahteraan emosi dan sosial murid serta akses kepada ruang rekreasi.

"Selain itu, aspek teknikal melibatkan akustik, kalis bunyi, pencahayaan dan pengudaraan semula jadi, laluan kecemasan, struktur bangunan, penyelenggaraan serta turut melibatkan pengurusan strata," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) mengenai cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkaitan projek pembinaan sekolah dua blok berkonsep menegak dengan kapasiti antara 10 hingga 17 tingkat termasuk langkah konkrit kementerian untuk memastikan kemudahan asas keselamatan di sekolah berfungsi dengan baik.

Mengulas lanjut, Wong berkata KPM telah mengadakan sesi libat urus melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta ibu bapa dan guru bagi memperhalusi keperluan reka bentuk sekolah menegak.

Beliau berkata terdapat tiga modul yang dicadangkan oleh KPM iaitu menumpukan pembinaan sekolah dalam tapak khusus untuk pendidikan sahaja, menggabungkan kemudahan masyarakat seperti klinik dan perpustakaan serta yang melibatkan integrasi dengan perumahan dan projek komersial.

“Reka bentuk sekolah perlu mesra kurikulum, lestari, fleksibel serta berpaksikan prinsip rasa kepunyaan, daya tarikan, keselamatan dan kemudahan penyelenggaraan,” katanya.

Wong turut berkata pelaksanaan sekolah menegak adalah tertakluk kepada penilaian KPM dan agensi teknikal khususnya kawasan yang mempunyai populasi lebih sejuta orang.

DBKL sebelum ini mengemukakan cadangan untuk membina lebih banyak bangunan sekolah berkonsep menegak dengan menempatkan dua blok bangunan antara 10 hingga 17 tingkat sebagai usaha mengatasi isu tanah yang terhad serta pertambahan penduduk di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan