PUTRAJAYA, 30 Julai (Bernama) -- Malaysia memainkan peranan penting dalam membantu meredakan ketegangan antara Thailand dan Kemboja apabila menjadi tuan rumah kepada satu pertemuan diplomatik yang bersejarah, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjadi hos kepada pertemuan itu yang melibatkan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet pada Isnin lepas.
"Saya percaya niat kita adalah jelas (iaitu) untuk memastikan ketenteraman dan keamanan dapat dikembalikan.
"Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, Malaysia memainkan peranan penting dalam mengemudi dan mencari titik pertemuan dalam kepelbagaian dan kerencaman di Asia Tenggara… dan kita telah berjaya dalam hal ini," katanya semasa berucap dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.
Fahmi berkata situasi sebegini amat jarang berlaku dengan Malaysia menjadi tumpuan seperti itu.
"Namun, kita menyaksikan kejayaan besar apabila kedua-dua pihak mencapai kata sepakat dan mengumumkan gencatan senjata secara bersama," katanya.
Beliau berkata meskipun pengumuman itu merupakan satu langkah positif, keadaan di lapangan masih bersifat dinamik.
Oleh itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar semalam mengetuai delegasi diplomatik ke Thailand dan Kemboja untuk mengadakan perbincangan bersama kepimpinan ketenteraan kedua-dua negara agar pelaksanaan gencatan senjata dapat dijayakan dengan baik.
Ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja tercetus dengan insiden tembak-menembak yang singkat pada 28 Mei lepas sebelum memuncak kepada konflik bersenjata pada 24 Julai.
Setakat 26 Julai, pertempuran antara kedua-dua negara berjiran itu telah meragut sekurang-kurangnya 32 nyawa dan memaksa sehingga 200,000 penduduk berpindah dari kawasan sempadan yang terjejas.
Namun, usaha berterusan untuk meredakan krisis itu akhirnya membuahkan hasil melalui rundingan secara bersemuka di Putrajaya pada Isnin lepas.
Turut hadir dalam majlis perhimpunan hari ini ialah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
-- BERNAMA