HAMILTON (Kanada), 31 Julai (Bernama-Anadolu) -- Kanada akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara pada sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada September 2025, umum Perdana Menteri Mark Carney pada Rabu.
Bercakap pada sidang media di Ottawa selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet secara maya, Carney berkata langkah itu diambil susulan situasi kemanusiaan yang disifatkan sebagai "tidak tertanggung" di Semenanjung Gaza.
“Kanada berhasrat untuk mengiktiraf negara Palestin pada sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB pada September 2025,” katanya menurut laporan Anadolu Ajansi (AA).
Carney mengulangi sokongan berterusan Kanada terhadap penyelesaian dua negara – sebuah negara Palestin yang merdeka, berdaya maju dan berdaulat hidup berdampingan secara aman dan selamat dengan Israel.
Beliau berkata pengiktirafan oleh Kanada juga bergantung kepada komitmen Pihak Berkuasa Palestin untuk melaksanakan “pembaharuan yang sangat diperlukan”, sambil berikrar untuk memperkukuh sokongan terhadap tadbir urus demokratik di Palestin.
“Kanada akan mempertingkat usaha menyokong tadbir urus demokratik yang kukuh di Palestin serta sumbangan rakyatnya ke arah masa depan yang lebih aman dan penuh harapan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa “sebarang jalan menuju keamanan berkekalan bagi Israel juga memerlukan kewujudan negara Palestin yang stabil dan berdaya maju.”
Carney menggambarkan krisis kemanusiaan di Gaza sebagai “tidak tertanggung dan semakin meruncing”, sambil mengkritik Israel kerana membiarkan keadaan terus memburuk.
“Kanada mengecam tindakan kerajaan Israel yang membiarkan keadaan di Gaza menjadi semakin teruk,” kata beliau.
-- BERNAMA-ANADOLU