JOHOR BAHRU, 31 Julai (Bernama) -- Johor dan Singapura terus memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang kesihatan awam menerusi sesi pertemuan rasmi antara Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Kesihatan Singapura Ong Ye Kung di Singapura semalam.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pertemuan berkenaan membuka ruang perbincangan mendalam berkaitan pengukuhan sistem kesihatan awam, termasuk isu kekurangan tenaga kerja kesihatan dan usaha meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan rakyat kedua-dua negara.
"Kami bersetuju bahawa perkongsian data dan pengalaman antara kedua-dua pihak amat penting untuk mempercepatkan pembangunan sistem kesihatan yang lebih inklusif dan responsif.
“Kami turut berbincang potensi kolaborasi dalam ruang lingkup Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), terutamanya dalam aspek teknologi perubatan, pelaburan kesihatan, pelancongan perubatan serta pembangunan bakat,” katanya menerusi hantaran dimuat naik di laman facebooknya hari ini.
Beliau berkata Johor turut mencadangkan pelaksanaan latihan profesional dan peningkatan kemahiran kakitangan kesihatan secara bersama dengan institusi kesihatan terkemuka Singapura, termasuk meneroka kerangka ‘sandbox’ sebagai platform dasar kesihatan progresif di kawasan JS-SEZ.
"Kedua-dua pihak juga mengambil pendekatan terbuka dalam membincangkan isu berkaitan pengambilan tenaga kerja kesihatan, dan bersetuju bahawa sebarang inisiatif mobiliti tenaga kerja harus dilaksanakan melalui saluran rasmi serta kerangka kerjasama dua hala yang tersusun dan telus.
“Insya-Allah, pertemuan ini akan menjadi asas kepada kerjasama kesihatan yang lebih mampan dan menyeluruh. Kesihatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Johor, dan usaha bersama ini diyakini dapat memperkukuh kualiti perkhidmatan serta memperluas akses kesihatan kepada semua,” katanya.
Semalam Onn Hafiz mengadakan lawatan rasmi ke Singapura sebagai penerima ke-82 Lee Kuan Yew Exchange Fellowship (LKYEF) sekali gus menjadi pemimpin Johor pertama dan menjadi rakyat Malaysia kesembilan diberi penghormatan menerima anugerah tersebut yang mengiktiraf pemimpin berkebolehan dalam bidang dasar awam dan kepimpinan di rantau ini.
-- BERNAMA