NEW YORK, 31 Julai (Bernama-Anadolu) -- Persidangan peringkat tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai penyelesaian aman isu Palestin berakhir pada Rabu di ibu pejabatnya di New York, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Persidangan yang berlangsung dari 28 hingga 30 Julai itu menghimpunkan pegawai kanan dari hampir 130 negara dan berakhir dengan penerimaan dua dokumen utama iaitu “Seruan New York Call” dan “Deklarasi New York” yang menyokong penyelesaian dua negara.
Amerika Syarikat (AS) dan Israel tidak menghadiri persidangan itu yang dipengerusikan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dalam ucapan pra-pembukaan berkata bahawa penyelesaian dua negara kini berada di “ambang kehancuran”.
“Kewujudan sebuah negara bagi rakyat Palestin adalah hak, bukan satu ganjaran. Dan penafian terhadap hak ini hanya akan memberi kelebihan kepada golongan pelampau,” katanya.
Guterres turut mengecam keadaan yang semakin meruncing di Gaza, sambil memberi amaran bahawa wilayah itu kini sedang “terjerumus dalam malapetaka”.
Sebanyak 15 negara termasuk Australia, Kanada, Perancis dan Sepanyol mengulangi sokongan mereka terhadap penyelesaian dua negara melalui dokumen “Seruan New York”.
Dalam kenyataan bersama, negara-negara terbabit menyuarakan kebimbangan serius terhadap korban awam di Gaza dan menggesa negara lain mempertimbangkan pengiktirafan terhadap Palestin sebagai langkah penting ke arah keamanan.
“Kami bersetuju untuk mengambil tindakan bersama bagi menamatkan perang di Gaza serta mencapai penyelesaian yang adil, aman dan berkekalan terhadap konflik Israel-Palestin melalui pelaksanaan penyelesaian dua negara,” menurut kenyataan itu.
Deklarasi berkenaan turut memberi amaran bahawa konflik yang berterusan menyebabkan penderitaan manusia yang amat dahsyat dan mengancam kestabilan serantau dan global.
Negara-negara yang menyokong deklarasi terbabit termasuk Turkiye, Perancis, Arab Saudi, Brazil, Kanada, Mesir, Indonesia, Ireland, Itali, Jepun, Jordan, Mexico, Norway, Qatar, Senegal, Sepanyol, United Kingdom (UK), Kesatuan Eropah (EU) dan Liga Arab.
Sepanjang persidangan, UK dan Kanada turut mengumumkan rancangan untuk mengiktiraf Negara Palestin secara rasmi pada Perhimpunan Agung PBB ke-80 yang dijadual berlangsung pada September.
-- BERNAMA-ANADOLU