KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Penempatan mengikut lokaliti khususnya bagi calon guru dari Sabah dan Sarawak serta Orang Asli menjadi antara keutamaan dalam pengurusan penempatan guru baharu, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Beliau berkata ini bagi membolehkan mereka berkhidmat berhampiran dengan kampung halaman dan menyokong pembangunan pendidikan luar bandar.
Bagaimanapun, Fadhlina berkata keputusan akhir penempatan bergantung sepenuhnya kepada kekosongan jawatan sebenar serta keperluan opsyen semasa mengikut keutamaan pendidikan.
"Meskipun calon boleh menyatakan keutamaan lokasi dan kesediaan berkhidmat, penempatan tetap berdasarkan keperluan opsyen dan kekosongan jawatan dan inilah keutamaan pendidikan bagi memartabatkan aspirasi pendidikan itu sendiri.
"Kementerian Pendidikan komited memberi keutamaan terhadap hak murid di sekolah untuk mendapatkan pendidikan terbaik melalui penempatan guru baharu yang mencukupi di seluruh negara," katanya.
Beliau menjawab soalan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) berkenaan perkara yang diambil kira dalam proses penempatan guru baharu lepasan Institut Pendidikan Guru (IPGM) pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, Fadhlina berkata laluan khusus untuk anak Sabah dan Sarawak serta Orang Asli turut diberi keutamaan di peringkat IPGM untuk memastikan keperluan guru di lokaliti berkenaan dipenuhi di peringkat penempatan sekolah.
-- BERNAMA