KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bertujuan memacu pertumbuhan mampan berteraskan penciptaan nilai merentasi semua sektor, melibatkan pelaburan RM611 bilion bagi menjayakan pelan lima tahun itu dan RM430 bilion daripada jumlah tersebut merupakan peruntukan pembangunan daripada kerajaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata RMK13 turut menumpukan kecerdasan buatan dan penekanan terhadap inisiatif “Buatan Malaysia” bagi menempatkan negara sebagai sebuah negara berdaya saing dan berpendapatan tinggi di peringkat global.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata pelan pembangunan itu merupakan kesinambungan kepada dasar Ekonomi MADANI bertujuan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara seumpama menaikkan siling, meningkatkan darjat hidup rakyat seumpama menaikkan lantai dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan ke arah tatakelola terbaik.
Beliau berkata demikian semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 yang bertemakan 'Melakar Semula Pembangunan' di Dewan Rakyat hari ini.
“Ekonomi negara tidak boleh hanya bergantung pada pengeluaran bahan asas dalam sektor pertanian, perindustrian dan perkhidmatan. Kita perlu melonjakkan kerencaman ekonomi dengan beralih kepada penciptaan nilai dalam semua sektor ekonomi.
“Dalam menelusuri ikhtiar pembangunan nasional, kita tidak boleh lagi terpaku pada ukuran sempit melibatkan angka pertumbuhan ekonomi, misalnya,” kata beliau.
Menurut Anwar, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang meningkat dan berkembang tidak akan memberi sebarang makna sekiranya kebebasan dan hak rakyat untuk hidup secara bermaruah masih dirundung oleh belenggu kelaparan, ketidakadilan dan peminggiran.
Katanya pertumbuhan KDNK Malaysia diunjur berkembang pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh lima tahun 2026-2030 diterajui oleh permintaan domestik, terutamanya penggunaan dan pelaburan swasta.
Anwar berkata eksport kasar negara dijangka meningkat sebanyak 5.8 peratus setahun dengan peluang perdagangan yang lebih luas.
Beliau berkata sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan kekal sebagai sumber utama pertumbuhan yang disumbang oleh peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai.
Beliau berkata defisit fiskal Kerajaan Persekutuan dijangka berkurangan secara berperingkat di bawah tiga peratus kepada KDNK dan paras hutang kerajaan tidak melebihi 60 peratus kepada KDNK.
“Pendapatan negara kasar (PNK) per kapita disasarkan meningkat kepada RM77,200 dan dijangka melepasi nilai ambang negara berpendapatan tinggi," kata beliau.
Menurut Anwar, pasaran buruh negara dijangka bertambah baik dengan bahagian pampasan pekerja kepada KDNK mencapai 40 peratus manakala kadar pengangguran mencapai tahap guna tenaga penuh menjelang 2030.
Kadar purata inflasi juga dijangka kekal stabil dalam lingkungan dua hingga tiga peratus setahun, kata beliau.
Mengenai pelaburan sebanyak RM611 bilion, beliau berkata peruntukan pembangunan daripada kerajaan dianggarkan berjumlah RM430 bilion.
Beliau berkata pembiayaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) berjumlah RM120 bilion bagi menyokong pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan langsung domestik dalam sektor strategik.
“Sokongan pihak swasta pula, melalui kaedah perkongsian awam swasta (PPP) adalah sebanyak RM61 bilion,” kata beliau.
Daripada peruntukan RM430 bilion tersebut, katanya lebih daripada separuh iaitu sebanyak RM227 bilion akan disalurkan kepada sektor ekonomi sebagai tunjang utama pertumbuhan negara.
Selain itu, katanya sektor sosial turut diberi keutamaan dengan RM133 bilion diperuntukkan dengan sektor pendidikan menerima RM67 bilion, sektor kesihatan (RM40 billion), sektor keselamatan (RM51 bilion) dan sektor pentadbiran akan menerima RM17 bilion.
Mengenai ‘Buatan Malaysia’, Perdana Menteri berkata Malaysia mahu bangkit sebagai peneraju ekonomi Asia dan dikenali dengan identiti sendiri yang mengangkat akar budaya dan hikmah Timur.
Beliau berkata aspirasi Malaysia adalah untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi dan tergolong dalam 30 ekonomi utama dunia menjelang 2030.
“Aspirasi ini memerlukan kita membulatkan tekad untuk mempercepat peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai dengan memupuk budaya inovasi,” kata beliau.
Malaysia perlu bingkas daripada sekadar menjadi pengguna kepada peneraju teknologi dan pengeluar produk serta perkhidmatan ‘Made by Malaysia’ yang bertaraf dunia.
Beliau berkata Malaysia menetapkan hala tuju yang jelas untuk menerajui ekonomi Asia Tenggara dalam AI, teknologi digital dan industri tenaga boleh baharu dengan aspirasi untuk muncul sebagai pemain berpengaruh pada peringkat global.
“Penerapan inovasi teknologi tempatan akan diberi tumpuan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam pembangunan aset digital strategik seperti AI, data analitik dan sistem digital kerajaan,” kata beliau.
Beliau berkata aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (RDCI) juga akan dipergiat bagi meningkatkan produk dan perkhidmatan berasaskan ‘Made by Malaysia’.
-- BERNAMA